Bola: DPP Kelantan vs DHPP model perpaduan kaum

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

KOTA BHARU: Islam tidak pernah mengajar umatnya memisahkan warna kulit dan bangsa. Itulah yang dijelmakan dalam program perlawanan persahabatan bolasepak anjuran Dewan Pemuda PAS Kelantan Dan Dewan Himpunan Penyokong PAS dengan pembabitan penuh Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Malaysia yang dipimpin Ustaz Mohammad Ibrahim.

Turut terbabit menjayakan perlawanan bersejarah itu adalah Lajnah Dakwah, DACS dan Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Hadir memeriahkan perlawanan persàhabatan ini adalah Ketua Dewan  Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaary serta Ketua DHPP Kelantan.

Perlawanan yang diadakan Rabu malam Khamis di Padang Perdana Kota Bharu membuktikan PAS di Kelantan berjaya memupuk perpaduan kaum dengan penyertaan oleh masyarakat Islam dan bukan Islam khasnya Melayu, India, Cina dan Siam.

Menurut Ustaz Mohamad Ibrahim yang juga turut bersama dalam program itu, sambutan baik pelbagai kaum dalam memperlihatkan Kelantan sebagai hub- perpaduan nasional.

Kata beliau dapat dilihat bukan sahaja mereka datang semata mata untuk perlawanan bola, sebaliknya mereka mahu menjalinkan hubungan lebih erat dan mahu membuktikan bahawa PAS adalah parti yang didalamnya menerapkan nilai perpaduan antara kaum yang sebenar.

Dalam hujan yang lebat sekalipun perlawanan tetap diteruskan. Ia memberi gambaran bahawa mesej perpaduan yang mahu disampaikan tercapai.

"Mereka faham bahawa Islam tidak membataskan perpaduan hanya dalam satu kaum atau fahaman agama, sebaliknya Islam adalah penyatu dan rahmat kepada semua kaum," kata beliau yang turut mendendangkan sebuah lagu yang dinukil khas untuk Lajnah Perpaduan Nasional.

Kata beliau program sedemikian akan diteruskan ke seluruh pelosok negara bagi membuktikan PAS adalah parti yang tidak hanya berasaskan satu kaum.

Sebaliknya sangat menghormati kedudukan semua bangsa yang ada di negara ini.

"Alhamdulillah program ini sangat berjaya. Ini bukti bahawa PAS diterima semua kaum dan PAS di Kelantan adalah role model dalam memastikan perpaduan kaum menjadi kenyataan," katanya lagi.

Melihat kepada kejayaan program pada malam ini LPN Dewan Pemuda PAS Malaysia berhasrat untuk menggerakkan DHPP Muda diseluruh negera agar mesej perpaduan nasional dapat diterapkan, kata Ustaz Mohammad Ibrahim lagi. - HARAKAHDAILY 20/8/2015

Share on Myspace