PAS Shah Alam teruskan perjuangan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Perletakan jawatan beramai-ramai Ahli Jawatankuasa peringkat kawasan dan dewan-dewan di Shah Alam adalah sesuatu yang sudah dijangkakan berdasarkan situasi politik semasa.

Berikutan dengan itu, menurut Setiausah PAS Shah Alam Mohd Shah Sapiei semua ahli Jawatankuasa dan ahli PAS Shah Alam yang telah beriltizam untuk terus istiqamah meneruskan agenda perjuangan PAS telah membuat persiapan rapi sejak beberapa minggu yang lalu bagi memastikan pentadbiran parti serta kesinambungan aktiviti dan perjuangan parti dapat terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

Beliau juga mengumumkan senarai pemangku jawatan yang dikosongkan di PAS Shah Alam telah pun diserahkan kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor (BPPNS) sebaik sahaja perbincangan berkenaannya bersama ahli jawatankuasa yang tidak meletakan jawatan dan ketua cawangan dari seluruh Shah Alam selesai malam tadi.

"Mesyuarat mengambil ketetapan secara konsensus untuk penama-penama tersebut dicadangkan kepada BPPNS untuk kelulusan. Kami menjangkakan kelulusan daripada BPPNS akan diperoleh pada awal pagi ini," katanya kepada Harakahdaily.

Justeru beliau menegaskan tidak ada apa-apa kelompangan dalam kesinambungan pentadbiran parti di semua peringkat di Shah Alam pada bila-bila masa pun sama ada sekarang atau pada masa akan datang.

"Proses yang sama juga sedang berlaku di peringkat Dewan Muslimat PAS Shah Alam. Manakala di Dewan Pemuda pula, pengambilalihan pimpinan pemuda sudah berlaku lebih awal dan dewan tersebut berjalan seperti biasa," tambahnya.

Katanya, semua ahli dan penyokong PAS di Shah Alam dinasihatkan supaya tidak perlu khuatir atau bimbang kerana keadaan terkawal dan diurus dengan cara yang terbaik di semua peringkat, insya-Allah.

Semalam ahli dan pemimpin PAS dari tiga kawasan PAS di Selangor mengumumkan  perletakan jawatan sama ada dalam parti atau jawatan yang mereka sandang, sementara menunggu untuk berpindah menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).

Ia termasuk 183 ahli dari kawasan Kota Raja, 227 ahli kawasan Kapar dan tiga orang dari kawasan Klang. – HARAKAHDAILY 20/8/2015

Share on Myspace