Perkasakan institusi masjid, bukan sekadar bina

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Ustaz Abu Bakar Hussien (PAS-Titi Serong) mengharapkan Kerajaan Negeri Perak lebih serius dalam memperkasakan institusi Islam di negeri itu daripada hanya memikirkan dalam konteks pembinaan prasarana semata-mata.

Menurutnya, institusi masjid dan surau mestilah ditingkatkan lagi prestasi dan kewibawaannya agar lebih memainkan peranan dalam mendidik masyarakat khususnya umat Islam.

Selain itu, katanya, para pendakwah dan penceramah mestilah dilatih supaya lebih berketerampilan dan efisyen selari dengan penerimaan serta kehendak masyarakat.

PAS katanya mengharapkan agar kerajaan negeri melalui agensinya berusaha melahirkan lebih ramai pendakwah yang berwibawa untuk membina masyarakat melalui institusi masjid dan surau.

"Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) diharap tidak hanya sekadar membina masjid tetapi apa yang lebih perlu diberikan perhatian adalah mengimarah serta memperkasakan institusi tersebut.

"Saya amat kecewa dengan tahap pengimarahan masjid dan surau. Masjid cantik dan tersergam indah namun tiada pengisian yang berkualiti.

"Tabungan masjid hampir mencecah ribuan ringgit namun tidak mampu membiayai seorang penceramah, pengurusan masjid dan surau masih di tahap yang lemah dan tertinggal fungsinya terutama di luar bandar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negeri Perak di bawah RMK11 di Persidangan Dewan Negeri (Dun) Perak, dekat Ipoh semalam.

Ustaz Abu Bakar mencadangkan agar kerajaan negeri mengadakan kempen-kempen kesedaran masyarakat seperti "Masjid Markas Kehidupan" dan sebagainya.

Kerajaan Negeri juga disaran menguatkuasakan hukuman moral atau takzir ke atas mereka yang gagal ke masjid dan surau yang akhirnya secara tidak langsung mencetuskan kecedaran di dalam hati masyarakat.

"Skim galakan perlu difikirkan bagi menarik lebih ramai lagi pengunjung melabuhkan hatinya ke institusi masjid dan surau, ini secara tidak langsung dapat menghakis kehendak hati masyarakat untuk mendekati program-program yang tidak bermanfaat.

"Tugas imam-imam juga perlu distrukturkan kembali supaya mereka lebih berkualiti dan berkopetensi," jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 20/8/2015

Share on Myspace