Lapangan terbang baharu mampu lonjak ekonomi Kelantan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Majlis Perdagangan dan Ekonomi Kelantan (KELTREC) menggesa supaya usaha bersepadu kerajaan negeri dan persekutuan tanpa birokrasi politik untuk menyegerakan pembinaan infrastrurktur asas seperti jaringan lebuhraya baru Gua Musang Kota Bharu dan Pasir Puteh Jeli yang perlu dinaiktaraf bagi menyokong pusat pertumbuhan baru yang bakal muncul hasil dari pembinaan lapangan terbang yang bakal dibina di negeri itu.

Pengerusi Majlis Perdagangan dan Ekonomi Kelantan Abdul Ariffahmi Ab Rahman berkata dengan siapnya fasa pertama lebuhraya Kota Bharu Machang maka akan wujud jarak strategik antara pusat bandar Kota Bharu dan lapangan terbang ini yang akan hanya mengambil masa dalam 30 minit perjalanan.

Katanya, dalam usaha menjadikan Kelantan sebagai wilayah ekonomi timur bagi Malaysia yang terdedah kepada pasaran Indo China, Jepun dan Korea maka semua infrasturktur ekonomi seperti pelabuhan Tok Bali dan kemudahan kastam di sempadan Thailand terutama di Bukit Bunga, Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang harus dinaiktaraf supaya asas kepada ekonomi Kelantan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

"Lapangan terbang antarabangsa di Kelantan akan berupaya mengaut segala manfaat ekonomi dari pasaran Indo China yang terbuka luas. Keltrec juga menyeru supaya semua pihak berusaha dan menyokong projek ini supaya disegerakan," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut menyambut baik cadangan Kerajaan Negeri dan usaha Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk merealisasikan lapangan terbang antarabangsa di negeri ini yang terletak di Sungai Bagan Machang.

Beliau berkata, usaha ini bertepatan dengan hasrat warga perniagaan di negeri Kelantan yang mahu melihat munculnya satu pemutar ekonomi baru (economic spinner) yang akan jadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Kelantan seluruhnya di dekad akan datang.

"Pemilihan lokasi yang luas ini juga amat tepat kerana kemudahan rundingan dengan pemilik tunggal estet Sungai Bagan yang mudah berbanding dengan pengambilan tanah yang biasa dibuat oleh kerajaan negeri melibatkan jumlah pemilik yang ramai dan mengambil masa yang lama," tambahnya.

Dari segi geografi, katanya, Machang perlu menjadi pusat pertumbuhan baru kerana berada di tengah-tengah negeri.

"Sudah tentu limpahan ekonomi (spill over) daripada pertumbuhan pesat di Kelantan Tengah ini akan dirasai di seluruh negeri menjadikan pacuan kegiatan ekonomi akan berlaku dan dirangsang oleh seluruh rakyat tanpa mengira parti politik," katanya.

KELTREC adalah sebuah NGO yang ditubuhkan pada 2013 utk menyokong dan memantau kegiatan ekonomi Negeri Kelantan. – HARAKAHDAILY 20/8/2015

Share on Myspace