Naik taraf Kuisas perlu walaupun Muhyiddin gugur

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Ustaz Mohd Zawawi Abu Hassan (PAS-Gunong Semanggol) mengharapkan usaha menaiktaraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (Kuisas) menjadi universiti awam dapat diteruskan seperti yang dirancang.

Menurutnya, perbincangan tentang naiktaraf itu telah dilakukan secara serius bersama Timbalan Perdana Menteri Ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun 2013.

Namun katanya, persoalan timbul apakah status terkini usaha tersebut selepas Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia pada ketika itu telah disingkirkan daripada kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Mengikut perancangan, Kuisas akan dinaiktaraf menjadi unversiti awam setanding dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) namun persoalan timbul apabila Muhyiddin disingkirkan daripada kabinet negara.

"Kami ingin mengetahui sejauh mana keseriusan kerajaan dalam merealisasikan hasrat menaiktaraf kolej tersebut yang antara menjadi mercu tanda negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakah selepas Pembentangan Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negeri Perak di Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, dekat sini semalam.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Perak itu menyorot kembali proses menaiktaraf Kuisas daripada Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar) yang memakan masa sangat lama untuk direalisasikan.

Oleh hal yang demikian, kata Zawawi, usaha yang serius perlu dilakukan dalam meneruskan agenda tersebut kerana ia telah memakan masa beberapa tahun namun ia masih belum dilaksanakan.

"PAS sangat menyokong usaha ini dalam merancakkan lagi institusi pendidikan di negara ini seterusnya berjaya melahirkan produk pelajar yang berkualiti.

"Istitusi pendidikan ini sangat penting kerana ia akan menjadi harapan kepada masa depan negara dan negeri Perak sendiri," ujar beliau lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyambut baik rancangan kerajaan negeri untuk membina beberapa pusat pengajian termasuklah Pusat Pembangunan Modal Insan Perak, Sekolah Berasrama Penuh, Universiti College Sedaya Internasional dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Selama.

Ujarnya, ini sedikit sebanyak akan memberikan lebih banyak peluang dan ruang kepada generasi muda untuk menimba ilmu melalui ruang yang diberikan itu. – HARAKAHDAILY 20/8/2015

Share on Myspace