Pemuda PAS ziarah penerbit Da'i Pendakwah Milenia

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Lajnah Dakwah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini telah menyerahkan memorandum kepada pihak penerbit rancangan Da'i - Pendakwah Milenia di Pejabat Media Prima Berhad, Sri Pentas.

Naib Ketua Pemuda DPPM, Khairil Nizam Khirudin bersama-sama Pengerusi Lajnah Dakwah DPPM, Mohd Hafez Sabri telah bertemu dengan Ketua Pegawai Perhubungan Awam dan wakil penerbit Da'i Pendakwah Milenia.

Turut hadir bersama adalah Penolong Setiausaha dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO, Nurul Islam dan Mohamad Ibrahim dan AJK-AJK Lajnah Dakwah DPPM.

Pertemuan itu disambut baik oleh pihak penerbit dan kesudian mereka menerima kunjungan Pemuda PAS.

Usaha yang dilakukan itu adalah tanda sokongan Pemuda PAS atas usaha dakwah yang dijalankan dengan mengelakkan isu kontroversi yang sensitif terhadap agama dan dunia dakwah.

Pemuda PAS berpandangan usaha untuk menambah rating penonton seharusnya selari dengan syariat Islam.

Pihak penerbit sewajarnya mengelakkan insiden yang boleh mencemarkan imej Islam semata-mata mahu menaikkan rating penonton.

Idea dan konsep Da'i Pendakwah Millenia cukup baik untuk diteruskan bagi melahirkan pendakwah kontemporari bagi mendepani cabaran semasa.

Namun, dari sudut pelaksanaan harus diperbetulkan dari semasa ke semasa dan dijauhkan program dakwah sebegini hanya bermotifkan keuntungan komersial semata-mata.

Saranan Pemuda PAS juga agar peserta Da'i Pendakwah Milenia ditempatkan di kawasan pedalaman khususnya Sabah dan Sarawak dengan meletakkan target pencapaian untuk mengislamkan orang bukan Islam.

Harapannya agar para peserta dapat memahami realiti dunia dakwah sebenar.

Pemuda PAS mengucapkan jutaan terima kasih kepada penerbit Da'i Pendakwah Milenia yang berbesar hati menerima memorandum dengan harapan episod seterusnya mampu diperbaiki dengan lebih baik. - HARAKAHDAILY 20/8/2015

Share on Myspace