Bahasa Inggeris: Tanya pakar bukan bincang rakan niaga

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tindakan Kementerian Pendidikan menangguhkan syarat wajib lulus mata pelajaran bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2016 satu langkah yang tepat.

"Saya telah bangkit perkara itu di Parlimen ketika membahaskan Bajet 2015 supaya kerajaan mengkaji semula peraturan ini kerana ia menzalimi pelajar-pelajar luar bandar terutama Sabah dan Sarawak," kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad Ahmad kepada Harakahdaily.

Ini, katanya kerana kerana tidak ada persediaan guru yang mencukupi walaupun jawapan daripada pihak menteri mengatakan kementerian akan meneruskan juga.

"Kita bukan menentang Bahasa Inggeris, kerana belajarlah apa bahasa pun, sebagaimana maksud hadis Nabi SAW: Belajarlah bahasa orang lain, nescaya akan kamu aman daripada tipu daya, yang kita persoalkan kenapa terlalu gopoh hendak mewajibkan lulus, sedangkan guru-guru tidak mencukupi," ujarnya lagi.

Justeru, beliau bertanya apa akan terjadi kepada pelajar yang lulus cemerlang dalam semua subjek tiba-tiba gagal dalam Bahasa Inggeris.

"Bukankah ini satu kezaliman?" katanya.

Pada 15 Jun 2014, Timbalan Menteri Pendidikan Satu, Datuk Mary Yap Kain Ching kira-kira 70 peratus daripada 60,000 guru bahasa Inggeris yang menduduki peperiksaan Cambridge Placement Test (CPT) pada pertengahan tahun lepas tidak mencapai tahap memuaskan beliau berkata, sebilangan besar guru hanya mencapai penguasaan bahasa tahap pertengahan, Sound English Proficiency (SEP) dan tahap rendah, Low English Proficiency (LEP).

"Kita mengharapkan pihak kementerian ketika hendak membuat pembaharuan biarlah fikir masak-masak dahulu," kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu lagi.

Menurutnya, jika guru pun tidak mencukupi untuk mengajar Bahasa Inggeris, macam mana pula pelajar diwajibkan untuk lulus.

Justeru, tambahnya jangan jadikan para pelajar bahan kajian sehingga mengorbankan masa depan mereka.

"Ambillah pandangan pakar pendidikan, bukan pandangan rakan niaga," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kerajaan agar kegagalan PPSMI sepatutnya diambil iktibar dengan hampir RM6 bilion hangus. - HARAKAHDAILY 21/8/2015

Share on Myspace