Selangor kaji deposit 10% biayai rakyat beli rumah

SAIDAH HAIRAN | .

SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, kerajaan negeri sedang mengkaji mekanisma membantu rakyat yang tidak berkemampuan membeli rumah untuk membeli rumah dengan pembiayaian 10 peratus.

Katanya, satu skim telah diperkenalkan iaitu 'first home' di mana dalam skim tersebut rakyat yang hendak membeli rumah tetapi tidak mempunyai deposit dan mereka boleh mendapatkan deposit 10 peratus daripada kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri akan memberi 10 peratus deposit daripada harga rumah tersebut untuk dibayar kepada pemaju perumahan," katanya bercakap dalam ucapan Penggulungan perbahasan Usul Jawatankuasa Pembasmian Kemiskinan.

Beliau menegaskan, rakyat yang hendak membeli rumah tidak perlu membayar deposit 10 peratus tetapi rumah tersebut dimiliki bersama oleh kerajaan negeri dan pembeli.

"Kerajaan negeri dan rakyat sama-sama membeli rumah. Rakyat akan keluarkan 90 peratus pembiayaan dan kerajaan negeri keluarkan 10 peratus," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri telah lakukan skim dana sel di mana kerajaan telah mulakan dengan dua projek rumah kos rendah di Sungai Sring dan Rimba Jaya.

"Kita berhadapan dengan rakyat yang hendak membeli rumah tetapi pinjaman mereka untuk membeli rumah ditolak oleh bank," katanya.  

Justeru, kerajaan negeri telah melaksanakan Skim dana sel di mana kerajaan negeri membeli  rumah untuk rakyat dan disewakan kepada rakyat.

"Apabila kita sewakan kepada rakyat mereka boleh membayar sewa dan apabila pendapatan mereka meningkat mereka boleh membuat pinjaman dan membeli rumah tersebut," tegasnya.

Tambah beliau, sebahagian daripada sewa yang mereka bayar akan ditolak daripada harga rumah tersebut.

Sekiranya katanya, mereka masih tidak mahu membeli rumah tersebut mereka boleh duduk sehingga sewa yang mereka bayar dapat membiayai harga rumah tersebut. – HARAKAHDAILY 21/8/2015

Share on Myspace