Sekolah dilarang terlibat hari kebangsaan negeri P.Pinang

BERNAMA | .

GEORGE TOWN: Semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan di negeri ini dilarang terlibat dalam sambutan Hari Kebangsaan 2015 anjuran kerajaan DAP Pulau Pinang.
    
Pekeliling mengenai larangan itu dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang semalam.
    
Pengarah Pendidikan negeri Datuk Osman Hussain berkata pihaknya terpaksa mengeluarkan surat itu kerana kerajaan DAP Pulau Pinang menggunakan tema sambutan Hari Kebangsaan 2015 yang berbeza dengan kerajaan persekutuan.
    
"Tema 'Bersih' yang diguna pakai kerajaan negeri adalah sensitif dan berunsur politik jadi kami terpaksa melarang penglibatan sekolah-sekolah di negeri ini.
    
"Mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), kami perlu memohon kebenaran daripada kerajaan persekutuan untuk penglibatan sekolah-sekolah dalam sambutan itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
    
Osman berkata sehubungan itu sekolah-sekolah di Pulau Pinang kini dilarang melibatkan diri dalam sambutan itu sehingga mendapat kebenaran daripada Kementerian Pendidikan.
    
Jabatan Pendidikan Pulau Pinang dalam surat Pekeliling kepada semua sekolah di negeri ini semalam mengarahkan semua sekolah tidak menyertai sebarang sambutan dan perarakan Hari Kebangsaan 2015 anjuran kerajaan negeri Pulau Pinang sehingga mendapat arahan selanjutnya daripada pihak Kementerian Pendidikan.
    
Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada Jun lepas memilih 'Sehati Sejiwa' sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan 2015 tahun ini.
    
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy ketika dihubungi berkata tema sambutan Hari Kebangsaan 2015 peringkat Pulau Pinang tahun ini ialah 'Bersih, Cekap dan Amanah'.
    
Beliau yang enggan mengulas lanjut hanya memberitahu bahawa itu adalah tema yang ditentukan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang. - BERNAMA

Share on Myspace