Kongres Rakyat, bahas isu rakyat

MUHAMMAD FAIZAL | .

SHAH ALAM: Gabungan Bukan Kerajaan (NGO) serta parti-parti politik akan menganjurkan Kongres Rakyat bagi membincangkan isu-isu semasa negara yang membabitkan kehidupan rakyat.

Kongres Rakyat yang dianjurkan Sekretariat Kongres Rakyat akan diadakan pada 12 September di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah.

Pengerusinya, Azmi Abdul Hamid berkata apa yang berlaku dalam negara sama ada dari sudut politik mahupun ekonomi mendorong agar kongres diadakan.

"Hasil dari senua senario yang berlaku di dalam negara telah menggesa kita untuk mengadakan kongres bagi mendengar sendiri pandangan rakyat.

"Apa yang disuarakan, diusul serta dibahaskan akan dijadikan satu memorandum untuk disampaikan kepada kerajaan, sama ada dalam bentuk bertemu secara bersemuka ataupun melalui parlimen," katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini.

Menurut beliau lagi, Kongres Rakyat yang bertema 'Membina Malaysia Sejahtera' itu merupakan satu pelan tindakan rakyat yang akan dihasilkan bersama.

"Sudah tibanya masa rakyat bersama-sama bertindak dalam menyelamatkan negara ini, kalau sebelum ini hanya satu hala iaitu kerajaan kepada rakyat tetapi sekarang tidak lagi rakyat pula kepada kerajaan.

"Kita berharap objektif kongres ini akan tercapai dengan jayanya, kita akan mencari penyelesaian tentang apa yang berlaku sekarang ini.

"Kita mahu rakyat bersuara dengan satu hati tanpa mengira pangkat kedudukan ataupun keturunan, dengan cara ini sahajalah objektif yang kita inginkan akan tercapai," sambung beliau lagi.

Kongres Rakyat ini turut mensasarkan penyertaan 200 NGO dari pelbagai peringkat termasuk permerhati dari individu.

"Rakyat boleh kemukakan usul serta pandangan mereka melalui Facebook Kongres, setiap usul akan ditelitikan panel kongres sebelum dibentangkan pada program itu nanti.

"Semua boleh menyertainya dan kemukakan usul mereka, kita akan pastikan apa-apa yang disuarakan rakyat dapat kita tunaikan," katanya.

Turut hadir pada sidang media tersebut Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan yang juga merupakan Setiausaha Kongres merangkap Pengarah Sekretariat Kongres Rakyat. – HARAKAHDAILY 21/8/2015

Share on Myspace