Dr Mahathir separuh daripada masalah negara

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

CADANGAN Tun Dr Mahathir Mohamed agar pembangkang mencari formula bagi menurunkan Perdana Menteri tetapi mengekalkan BN menerajui negara adalah cadangan separuh masak, kerana isu utama yang melanda dan menimbulkan polemik negara bukan hanya berpunca dari Datuk Seri Najib Razak sahaja, tetapi ia lebih kepada budaya dan sistem pentadbiran negara yang sudah korup yang diwarisi daripada Tun Dr Mahathir.

PAS melihat cadangan Tun Dr Mahathir sekadar cubaan untuk menggunakan pembangkang bagi menukar Najib untuk menyelamatkan parti kesayangan beliau, Umno, yang sudah tidak berupaya memperbetulkan diri kerana masalah politik wang.

Cadangan Tun Dr Mahathir bukan penyelesaian kepada masalah negara kerana bebanan hasil daripada salah urus tadbir negara akan terus terikat di bahu rakyat. Isu GST yang membebankan rakyat, hutang 1MDB serta isu RM2.6 bilion 'sumbangan' dalam akaun PM, gejala rasuah yang kini boleh dikenali sebagai derma dan kedudukan daya saing negara dalam ekonomi global dan serantau akan terus menjadi isu utama di bawah budaya BN.

Apabila Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM, rakyat meletakkan keyakinan yang sangat tinggi pada Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) sehingga BN menang besar dalam PRU ke 11. Namun, tidak lama selepas itu, rakyat terus dihimpit dengan kegagalan beliau mengurus negara serta serangan peribadi terhadap Pak Lah yang diketuai Tun Dr Mahathir dan kepimpinan Umno.

Apabila Pak Lah meletakkan jawatan, sekali lagi rakyat dikecewakan dan lebih parah apabila Najib dipilih sebagai PM hasil sokongan Tun Dr Mahathir meskipun nama beliau terpalit dan tercemar dengan skandal pembelian kapal selam dan pembunuhan Altantuya.

Kini, Tun Dr Mahathir melakukan serangan bertali arus kepada Najib dan sekali lagi rakyat diminta menurunkan perdana menteri pilihannya dengan PM baru. Peliknya kali ini, dalam cubaan menurunkan Najib, Tun Dr Mahathir masih belum keluar Umno sepertimana yang beliau telah lakukan ketika Pak Lah ialah Perdana Menteri.

Jika pelan Tun Dr Mahathir berjaya, apakah pula irama baru yang akan didodoikan kepada rakyat? Dari slogan Bersih, Cekap, Amanah kepada Islam Hadhari dan yang masih boleh difahami rakyat kepada slogan yang kabur 1Malaysia, apa pula slogan yang didendangkan kepada rakyat selepas ini untuk mengkhayalkan mereka bahawa Umno-BN sudah berubah?

Bagi PAS, selagi tidak dibuat rombakan menyeluruh membetulkan sistem yang sudah korup dengan menukarkan parti yang menerajui negara dengan dasar yang jelas tidak mungkin negara ini dapat diselamatkan.

PAS mengemukakan dasar Islam sebagai asas perubahan kerana ia bersifat menyeluruh dan sesuai dengan keadaan sosio-geografi dan sifat negara yang majmuk. Kalau kita pernah mencuba dasar kapitalisme, sosialisme dan demokrasi Barat yang asing bagi kita, kenapa kita tidak mengkaji dan mencuba dasar Islam? Kita mesti membuang prasangka dan Islamphobia yang sengaja ditanam oleh Barat. Kita mesti jujur meneliti dengan ilmu dan akal yang waras bukan kebencian dan prasangka. PAS akan terus menerajui peranan membuang prasangka dan Islamphobia ini melalui usaha dakwah berterusan.

Soal perubahan menyeluruh mesti berpijak kepada kekuatan satu pasukan pembangkang yang mantap dan kesedaran seluruh ahli politik yang ada.

PAS akan menganjurkan Kongres Rakyat pada 12hb Sept 2015 sebagai medan terbuka dan rasional bagi meneliti dan merumus pelan tindakan semua pihak dalam menangani perubahan yang menyeluruh ini.

Kepimpinan politik khasnya dan semua NGO perlu duduk semeja, ketepikan sentimen taksub kepartian dalam merangka perubahan menyeluruh ini bagi mencari formula baru.

Apakah formula baru ini merangkumi keperluan sistem demokrasi diubah dari konsep "first past the post system" kepada sistem undi popular atau gagasan gabungan semua parti politik bersepadu untuk melakukan perubahan asas utama iaitu SPR, media dan kehakiman atau apa jua sistem bagi menyelamatkan negara dari kemelut yang sedang dihadapi - tunggu pendebatannya nanti di Kongres Rakyat. - HARAKAHDAILY 21/8/2015

Share on Myspace