PAS sedia kalau Allah nak beri kemenangan segera

HARAKAHDAILY | .

KUALA NERUS: "Kalau Allah nak beri kemenangan segera, insya Allah kita sedia pikul amanah," tegas Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan kertas kerja Beristiqamah Hingga Kemenangan: Agenda dan Tindakan Politik pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa, Batu 6 dekat sini, hari ini. Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad turut membentangkan kertas kerja Memahami Konsep Tahaluf Siyasi Dalam Islam pada munaqasyah itu.

Justeru, kata beliau PAS hampir memenuhi semua syarat untuk mengambil alih pemerintahan negara yang sedang berkecamuk mutakhir ini.

Menurutnya, keupayaan, pengorbanan dan kekuatan para pendukung parti sama ada dalam kalangan pemimpin dan ahli PAS mampu melaksanakan amanah tersebut.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ahli-ahli parti supaya jangan menghilangkan keyakinan masyarakat kepada PAS

Beliau menambah, PAS juga sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan yang ada dan mengambil sikap berlapang dada.

Begitupun, tegasnya ahli-ahli yang yakin dengan perjuangan Islam, mereka sentiasa istiqamah dengan PAS.

"Bagi kita yang yakin dengan Islam, kita bersama dengan PAS, kita yakin janji kemenangan daripada Allah," katanya di hadapan lebih 1,200 peserta.

Justeru, Tuan Ibrahim mengingatkan para hadirin agar beristiqamah dengan PAS kerana Allah akan memberikan bantuan selagi mencukupi syarat untuk mencapai kemenangan.

"Insya Allah, Allah akan membantu jamaah, Allah beri istiqamah kepada kita dalam jamaah ini," ujarnya. - HARAKAHDAILY 22/8/2015

Share on Myspace