Rombak pengurusan Pafa, presiden wajar letak jawatan

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak merakamkan rasa dukacita di atas prestasi pasukan bola sepak Perak yang menjadi kesayangan rakyat negeri itu.

Ketuanya, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin berkata, dengan rekod 9 kekalahan dan hanya 8 kemenangan dalam kancah Liga Super sesi ini, Skuad Seladang perlu melakukan sesuatu.

Katanya, pertukaran demi pertukaran pemain dilakukan dan jurulatih turut digantikan namun prestasi yang ditunjukkan masih kurang memberangsangkan.

"Setelah 5 tahun Datuk Zainol Fadzi Paharudin menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), tiada trofi kemenangan yang diperolehi oleh Skuad Seladang.

"Atas dasar sayang kepada pasukan Perak, kami mendesak agar pengurusan dirombak dan presidennya meletakkan jawatan," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mencadangkan jawatan tersebut digantikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir seperti tradisi kebiasaan pasukan itu di mana menteri besar adalah presiden.

Jelasnya, presiden dan pengurusan yang baru diharap mampu mencari lebih banyak penaja dalam menghadapi cabaran Liga Super akan datang yang khabarnya akan diswastakan.

"Dewan Pemuda PAS Perak bersedia memberi kerjasama kepada Pafa dan mengharapkan kebangkitan 'The Bos Gaurus' menghadapi perlawanan-perlawanan akan datang terutamanya dalam kempen Piala Malaysia 2015," jelasnya lagi. - HARAKAHDAILY 22/8/2015

Share on Myspace