Pengusaha bauksit dituntut tunai janji segera

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

KUANTAN: Pengusaha bauksit dituntut segera menunaikan janji bagi menyelesaikan isu pencemaran bahan galian berkenaan sehingga mengancam keselamatan dan kesihatan penduduk.

Tuntutan tersebut disampaikan dalam perhimpunan bantahan bauksit di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pagi tadi.

Kira-kira 3,000 orang hadir dalam himpunan NGO Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) itu.

Antara lain mereka didesak menggunakan kontena tertutup bagi mengelakan debu amang bertaburan sehingga mencemarkan alam sekitar.

Pengusaha juga digesa membersihkan lori pengangkut, menggunakan laluan dibenarkan serta tidak parkir di kawasan kampung atau perumahan.

Perhimpunan yang bermula jam 9 pagi itu diisi dengan pelbagai acara menarik seperti pidato, bacaan sajak dan mengedarkan petisyen bantahan.

Antara pemimpin PAS yang berucap ialah Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar dan Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Khairil Nizam Khiruddin.

Manakala Adun Beserah yang juga Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang Andansura Rabu diberi penghormatan menyampaikan resolusi perhimpunan.

Sementara itu majlis turut dimeriahkan oleh para peserta yang menjerit kalimah "geram" beberapa kali sebagai  tanda protes terhadap pengusaha lombong yang tidak mempedulikan tuntutan penduduk. - HARAKAHDAILY 22/8/2015

Share on Myspace