GHB: Surat tunjuk sebab sudah dihantar

HARAKAHDAILY | .

KUALA NERUS: Pejabat Agung PAS sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada beberapa pemimpin parti khususnya peringkat pusat berhubung pembabitan mereka dengan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan memberikan surat tunjuk sebab itu adalah mengikut peruntukan perlembagaan parti.

"Mereka yang diberikan surat tunjuk sebab itu perlu memberikan jawapan dalam masa 14 hari," ujarnya ketika ditemui selepas membentangkan kertas kertas pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa Batu 6, dekat sini hari ini. Turut serta ialah Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Jelasnya, surat tunjuk sebab itu dihantar kepada mereka setelah menerima laporan daripada PAS kawasan dan negeri.

"Setakat ini negeri yang terbabit ialah Selangor, Kelantan dan Johor," ujarnya lagi.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah memberitahu Jawatankuasa PAS Pusat akan meneliti laporan yang diterima daripada setiap negeri berhubung ahli parti itu yang terlibat dengan GHB.

Beliau berkata perkara itu dibincang mesyuarat yang akan diadakan 11 September hadapan.

“Kalau ada kes dan bukti yang kukuh, mungkin tindakan terhadap yang terlibat akan diambil. Laporan mengenainya akan dibentangkan pada mesyuarat tersebut nanti,” katanya. - HARAKAHDAILY 22/8/2015

Share on Myspace