Lantang di pentas PAS berakhir dengan parti lawan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kalau diambil kira faktor gagal dalam muktamar alasan bagi mewujud parti baharu, sehingga kini sudah berdozen parti baharu diwujudkan dari rusuk PAS.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar berkata, beliau dua kali tewas bertanding jawatan naib presiden dan sekali timbalan presiden PAS.

Katanya ketika muktamar PAS di Shah Alam dua tahun lepas beliau tewas 98 undi bagi jawatan Timbalan Presiden kepada Mohamad Sabu.

“Kalau diambil kira dengan situasi yang berlaku sekarang, saya lebih awal boleh tubuh parti parti kerana kalah muktamar.

“Saya juga pernah dua kalau tewas bertanding jawatan Naib Presiden PAS. Hanya percubaan kali ketiga sahaja menang pada muktamar lepas,” katanya di sini.

Pada muktamar PAS di Selangor awal Jun lepas 18 pemimpin PAS yang digelar kumpulan progresif gagal mempertahankan jawatan.

Ekoran kegagalan itu mereka yang dikenali Kumpulan G18 mengadakan ceramah pertama di Muar, Johor 16 Jun lepas.

Tidak lama selepas itu Pengerusi Kumpulan G18 diketuai Mohamad Sabu mengumumkan penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) di Hotel Vistana, Kuala Lumpur.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata “sekiranya diambil kira faktor kalah dalam muktamar bagi mewujudkan parti baru, sudah lama saya berada dalam parti lain.

“Lagi pun ketika kalah bertanding jawatan timbalan presiden dua tahun lepas hanya kalah 98 undi. Ini bermakna saya ada sokongan agak besar ketika itu,” ujarnya sinis.

Bagaimanapun katanya tiada alasan yang kukuh bagi sesiapa pun untuk pertikai keputusan muktamar.

Beliau juga mengandaikan antara faktor lain pihak terbabit mahu mewujudkan parti baru kerana mereka merasakan sudah tiada peluang dalam PAS akibat penolakan pada muktamar lalu.

“Seperti mereka tidak ada masa hadapan dan jalan akhir mereka tubuh parti baru,” ujarnya.

Mohd Amar juga tidak menolak sejarah lama berulang di mana ramai pemimpin PAS yang lantang ketika bersama PAS berakhir karier politik dengan parti lawan.

Mereka seperti mengulangi sejarah dilalui beberapa bekas pemimpin PAS yang lantang di pentas termasuk Omar Khalid, Nakhaei Ahmad, Noor Idris dan Abdullah Saamah akhirnya menyertai Umno.

“Boleh jadi begitu. Saya sebenarnya kasihan juga kepada mereka. Sumbangan besar mereka kepada PAS tidak dapat dinafikan,” ujarnya.

Beliau juga mengakui ada usaha-usaha dilakukana bagi mengajak pemimpin terbabit kembali bersama PAS namun belum berhasil.

Menurutnya juga kepemimpinan PAS sekarang mengadakan program turun ke bawah dengan menganjurkan dialog bersama ahli di peringkat akar umbi.

Katanya, hasil program penerangan dan dialog membolehkan ramai penyokong di peringkat bawah faham.

“Di Kelantan juga program penerangan dan dialog diadakan di seluruh kawasan parlimen.

“Di negeri ini tidak ramai yang bersikap melawan arus. Lagi pun pemimpin PAS yang terbabit dengan wadah baru itu orang ramai sudah kenal background mereka,” tambahnya. - HARAKAHDAILY 23/8/2015

Share on Myspace