RM2.5 bilion: Alasan Zahid sungguh menakjubkan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Rakyat semakin keliru mengenai wang RM2.6 bilion kerana ada yang menjawab wang itu digunakan untuk parti," kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Ini, katanya kerana menurut Ketua Umno Bahagian Seri Gading, Datuk Abdul Aziz Kaprawi wang itu digunakan untuk melawan zionis dan DAP.

Tambahnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula memberi tiga sebab kenapa dermawan memberi wang itu iaitu, pertama Malaysia komited dalam mengekang keganasan, kedua kerana  Malaysia berpegang teguh kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan yang ketiga Malaysia negara Islam sederhana dengan kewujudan masyarakat majmuk.

"Kalau ini alasannya, kenapa wang ini dimasukkan terus ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib?" tanya beliau.

Sepatutnya, kata beliau wang itu perlu disalurkan terus kepada Kementerian Dalam Negeri atau Kementerian Pertahanan jika benar untuk melawan keganasan.

Katanya lagi, kalau benar diberi kerana Malaysia berpegang kuat kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah, kenapa wang itu tidak diberikan terus kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk perkembangan yang lebih pesat.

Bagi Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, alasan yang diberikan Zahid sungguh menakjubkan.

Menurutnya, memang benarlah kerana wang RM2.6 bilion itu, menyusahkan semua orang sehingga nilai Ringgit Malaysia merudum.

"Pemimpin Umno yang hendak selamat dan mahu nafas yang panjang perlu mempertahankan bos, walaupun jawapannya boleh menjadi bahan jenaka.

"Ertinya kalau awalnya sudah masalah, maka hujungnya juga bermasalah," ujarnya. - HARAKAHDAILY 23/8/2015

Share on Myspace