Ada orang Islam tidak mahu syariat dilaksana

SALMAH MAT HUSAIN|FOTO RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: “Lebih menyedihkan lagi sekiranya ada umat Islam sendiri yang cuba menggagal syariat Islam dilaksanakan kerana beranggap mempunyai unsur keganasan.

“Sedangkan kefahaman seperti itu dibawa orang barat. Malangnya hari ini ada orang Islam juga berfikiran barat,” kata anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau berkata situasi itu berlaku kerana salah faham terhadap agama sehingga muncul pelbagai aliran kefahaman sekarang.

Sedangkan katanya kekeliruan itu sengaja ditimbulkan barat dengan memberi fahaman yang salah berkaitan Islam.

“Oleh itu umat Islam di negara ini diminta berhati-hati dengan fahaman Islam yang dibawa barat termasuk label teroris terhadap orang Islam.

“Mereka mengelirukan umat Islam dengan ciptaan Islam sebagai teroris, ganas, melampau atau Negara Islam (IS) yang tidak tahu dari mana bermulanya,” kata beliau.

Berucap pada Hari Yayasan Islam Kelantan (Yik) di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan di sini semalam berkata kekeliruan terhadap Islam sengaja ditimbulkan barat selepas melihat era kebangkitan Islam sekarang.

Dr Mohamed Fadzli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi berharap guru-guru Yik menjadi tunggak kebangkitan Islam di Kelantan sehingga mampu menular ke negeri-negeri lain.

Menurutnya juga rakyat perlu menggunakan kuasa undi bagi memilih kerajaan yang benar-benar mampu membela nasib mereka selepas dicengkam krisis ekonomi sekarang.  

“Tak akan selesai masalah sekiranya hanya menukar Perdana Menteri. Selepas Tun Mahathir Mohamad diganti Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang Datuk Seri Najib Razak keadaan negara semakin menjadi tenat.

“Hanya kerajaan baru sahaja yang mampu memulih semula kepercayaan rakyat,” katanya.

Progam itu dirasmikan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob. Hadir sama Pengarah Yik, Tengku Abdul Rahman Tuan Yunus dan pegawai kanan.

Di majlis tersebut bekas Mudir Maahad Muhammadi Lelaki Ustaz Nik Radzi Nik Mat dianugerahkan Tokoh Yik 2015. - HARAKAHDAILY 23/8/2015

Share on Myspace