Golongan progresif utamakan isu bukan syariat

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Terlalu ghairah sehingga meminggirkan persoalan asas syariah antara perjuangan kumpulan yang mahu menjadikan PAS lebih bersifat inklusif.

Felo Kehormat Unit Penyebaran Legasi Tok Guru, Wan Abdul Rahman Wan Ab. Latif berkata kumpulan terbabit memfokus kepada perspektif berkaitan isu semasa.

Katanya, mereka yang mendokong progressisme-inklusif lebih menumpukan perhatian isu pertanggungjawaban, penyalahgunaan kuasa, rasuah, pilihan raya dan Putrajaya.

“Sikap ini akhirnya melihat golongan konservatisme-ulamak sebagai tidak releven bagi mendepani persoalan semasa yang begitu pantas berlaku dalam masyarakat,” katanya di sini.

Beliau yang juga bekas pensyarah Sains Politik UKM berkata pengkaji yang mengkaji gerakan Islam dari perspektif progressisme menginginkan gerakan Islam lebih bersifat inklusif.

Tumpuan mereka kepada hal-hal yang berkaitan bukan syariat seperti rasuah, kemiskinan dan penyalahgunaan kuasa.

Katanya, dalam pendekatan inklusif gerakan Islam dikehendaki melebarkan sayap penyertaannya dengan memberi pandangan yang simpathetik terhadap isu-isu semasa.

“Bukankah Islam itu rahmatan-lil’alamin. Jelas sekarang berlaku pemisahan antara dua kelompok terbabit ada kaitan proses tarbiyah yang panjang.

“Ahli PAS pada usrah yang pertama perlu menjadikan perlembagaan parti sebagai teks asas usrah dan perlu dihadam dari muka satu hingga muka terakhir.

“Sehingga ini belum selesai, teks usrah lain seperti isu semasa tidak boleh dijadikan teks. Ia boleh dibincang secara tidak formal dalam hal-hal lain,” katanya.

Kata beliau apa yang lebih penting isu-isu semasa perlu disuluh dari perspektif perlembagaan parti. - HARAKAHDAILY 23/8/2015

Share on Myspace