Memperkasa agenda Kongres Rakyat

HARAKAHDAILY | .

Prinsip asas Islam ialah wajib menentang segala bentuk kemungkaran sama ada kemungkaran sosial, ekonomi mahupun kemungkaran politik melibatkan ketidaktelusan dan penyelewengan pemerintah semasa.

Malah menjadi satu jihad berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim sebagaimana Hadis Nabi s.a.w.

إِنَّ مِنْ أَعْظَمِ الْجِهَادِ كَلِمَةَ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ

Bermaksud: Antara seagung-agung Jihad kalimah yang benar lagi adil berhadapan pemerintah yang zalim".

PAS secara tegas dan berprinsip melaksanakan tugasan ini sejak penubuhannya 1951 tanpa mengenal erti penat dan letih dengan penuh kesabaran dan ketelitian dalam merangka strategi dan pendekatan meskipun berhadapan dengan pelbagai tekanan oleh pihak berkuasa.

Bagi seorang Muslim, menentang kemungkaran pula tidak boleh hanya diasaskan kepada kebencian individu dan emosi semata-mata. Ia mesti bermula dengan prinsip "membenci kerana Allah dan menyukai kerana Allah".

Justeru, jihad menentang kemungkaran dalam Islam mempunyai tatacara, kaedah dan prinsip yang hanya akan dipatuhi oleh mereka yang menentang kemungkaran atas prinsip Islam.

Tidak wajar kemungkaran ditegah dengan melakukan kemungkaran yang seumpamanya.

Tidak wajar juga dihilangkan satu kemungkaran lalu digantikan pula oleh kemungkaran yang lain.

Menjatuhkan kerajaan sekular demokratis bukan dengan tujuan diganti oleh satu lagi parti sekular seumpamanya atau lebih teruk daripadanya iaitu sekular sosialis. Tetapi dengan niat ianya digantikan dengan kuasa politik Islam.

Kita juga menolak sebarang usaha menentang kemungkaran yang sebenarnya hanyalah menjadi topeng untuk agenda tersirat oleh kuasa luar atau yang menjejaskan kuasa Islam jangka masa panjang.

Dalam menghadapi situasi politik semasa yang menyaksikan Kerajaan Persekutuan berada dalam keadaan goyah dengan lingkaran pelbagai isu dan skandal maka PAS mengambil pendekatan melaksanakan Kongres Rakyat yang melibatkan rakyat pelbagai pihak khususnya badan-badan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Seluruh tenaga PAS akan dihalakan untuk memperkasakan agenda ini tanpa perlu terpalit dengn sebarang agenda yang berkemungkinan didalangi oleh pihak luar dan mempunyai niat tersirat yang boleh merosakkan agenda Islam untuk jangka masa panjang.

Sekian.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
9 Zulkaedah 1436 / 24 Ogos 2015
Algeria; seusai pertemuan dengan pimpinan utama parti Gerakan Masyarakat Sejahtera. - HARAKAHDAILY 24/8/2015

Share on Myspace