Wahai Umno, usah bangsatkan bangsa sendiri

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menzahirkan rasa kecewa dan mempersoakan kenapa pemimpin tertinggi Umno, berjawatan Presiden memilih untuk mengistilahkan bangsa Melayu akan jadi bangsa terbangsat jika Umno hilang kuasa.

Demikian ditegaskan oleh Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam suatu kenyataan hari ini.

“Istilah bangsat yang dipilih itu melambangkan pemimpin sudah terdesak dan tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap bangsa sendiri. Sedangkan bangsa Melayu itu sendiri sudah semakin sedar bahawa kepincangan yang berlaku adalah natijah dari kekonyolan pemimpin mereka sendiri.

“Sepatutnya pemimpin Melayu harus insaf bahawa kehilangan kuasa adalah disebabkan bangsanya kehilangan keyakinan terhadap integriti pemimpinnya sendiri. Bermakna pemimpinlah yang harus diperbetulkan terlebih dahulu sebelum melampiaskan kata-kata nista kepada bangsanya sendiri,” tegas Mohd Azmi.

Menurut beliau, melafazkan bangsa terbangsat bukan sahaja menunjukkan kedangkalan kefahaman mengenai faktor-faktor jatuh bangunnya sesuatu kaum atau bangsa, akan tetapi lebih parah menunjukkan betapa pemimpin itu bersikap bebal, fanatik dan dangkal kepada nurani bangsa, sedangkan bangsa sendiri sudah semakin berani mempersoal dan menegur pemimpinnya.

Tidak wajar bangsa yang berpegang kepada Islam tiba-tiba pemimpinnya merumuskan apabila parti politik yang mewakilinya kehilangan kuasa, pemimpin itu pula sanggup mencerca bangsa sendiri sebagai bangsa yang jahat dan hina.

“Soalnya benarkah tanpa sebuah parti politik yang berdasarkan perjuangan nasionalisme, bangsa akan menjadi hina dan bertukar menjadi bangsa yang berwajah fasad dan mungkar.

“Akal sihat tidak dapat menerima kata-kata ini sebagai kata-kata yang benar, apatah lagi kepimpinan parti itu sendiri yang menjadi punca polimik dan konflik menyebabkan kaumnya berhadapan dengan kemelut yang parah,” tegasnya.

Mapim berpendapat yang menjadi masalah sebenarnya ialah pemimpin bangsa itu sendiri bukan bangsanya semata-mata. Umno yang dikatakan satu-satunya bahtera untuk membawa bangsa Melayu berlayar dalam lautan yang bergelora ini dibayangkan akan karam. Jika begitu, itu apakah bangsa Melayu terlalu cetek pemikirannya untuk tidak mahu memileh bahtera yang lain.

“Keselamatan Melayu hanya terjamin jika bangsa ini dididik, diasuh dan dimantapkan dengan penghayatan Islam seluruhnya. Ia tidak akan mulia dan selamat dengan wadah yang tercemar dengan pemimpin yang berkepentingan diri dan membolot kekayaaan atas nama bangsanya sendiri,” kaya Mohd Azmi lagi. – HARAKAHDAILY 24/8/2015

Share on Myspace