Penstrukturan Air Selangor: Pencerahan isu RM7.65 b

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: RM7.65 billion adalah jumlah liabiliti yang dipinjam oleh syarikat-syarikat konsesi air iaitu Syabas, Abass dan Puncak Niaga, demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor Zaidy Abdul Talib.

Katanya, liabiliti itu dalam bentuk bond dan ia digunakan untuk membangunkan aset-aset air syarikat konsesi.

"Apabila Kerajaan Negeri Selangor mengambil alih syarikat konsesi ini, bond dan liabiliti ini berserta aset yang dibina menggunakan bond tersebut akan dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)," katanya kepada Harakahdaily.  
Tambahnya yang juga Adun Taman Templer, Air Selangor pula akan menyewa semula aset-aset ini daripada PAAB untuk digunakan sebagaimana yang digariskan di dalam Water Services Industry Act (WSIA) yang digubal dan dibuat di Parlimen.

Oleh hal yang demikian, katanya kerajaan negeri tidak perlu mengeluarkan duit untuk mengambil alih aset dan liabiliti syarikat-syarikat konsesi ini.

"Yang kita keluarkan modal adalah untuk 'take over equity' syarikat konsesi iaitu berjumlah RM2 billion. Caranya kita pajakkan aset yang kita ada yang bernilai RM2 billion kepada PAAB dan PAAB yang akan mengeluarkan RM2 billion tersebut," katanya.

Justeru katanya, kerajaan Selangor tidak perlu mengeluarkan duit dari tabungan kerajaan tetapi dalam masa yang sama kerajaan negeri dapat mengambil alih semula industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Terdahulu, ada pihak mempertikaikan Pelan Penstrukturan air yang dirombak Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali lebih mahal berbanding dengan yang dibuat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)  mempersoalkan jumlahnya yang mencecah RM9.65 bilion, sedangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dimaklumkan, ia hanya melibatkan kos RM2 bilion.

“Azmin perlu menjelaskan ini, jika tidak ia tidak dapat mengelakkan persepsi ada ‘kick back’ dalam urus niaga ini," pengasas SAMM, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard. – HARAKAHDAILY 24/8/2015

Share on Myspace