Usah “double standard” hanya minta orang lain letak jawatan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Ketika tiga Adun Pakatan Rakyat di Perak mengumumkan keluar daripada parti, semua pihak mendesak mereka mengosongkan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun Adun terbabit iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) enggan meletak jawatan sebagai Adun.

Berikutan tindakan mereka itu menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang berusia 11 bulan tumbang.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata ketika itu semua pemimpin Pakatan mendesak wakil rakyat terbabit mengosongkan kerusi yang dimenangi mereka.

“Bagaimanapun pemimpin yang pernah mendesak ketiga-tiga Adun terbabit mengosongkan kerusi selepas meninggalkan parti asal enggan meletak jawatan setelah dia juga mahu menyertai parti lain.

“Kalau mereka tidak dipilih PAS sebagai calon pada pilihan raya umum lepas sudah tentu mereka tidak boleh bertanding.

“Jadi kalau hendak kata mereka menang atas nama Pakatan tidak tepat kerana PAS yang mencalonkan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Halal dan Hari Francais Kelantan 2015 di Kelantan Trade Centre hari ini.

Program itu dianjur Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Hadir sama anggota Exco, Datuk Anuar Tan Abdullah, Ketua Eksekutif PKINK, Dr Wan Zawawi Wan Ismail, Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Serpuddin Mohamad dan Setiausaha Agung Persatuan Francais Malaysia, Mohd Shukri Salleh.

Seramai 270 peserta kalangan usahawan dan pelbagai agensi kerajaan serta Universiti Malaysia Kelantan menyertai seminar tersebut.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, jangan pula ada pihak yang bersikap double standard hanya mahu orang lain sahaja meletak jawatan selepas tidak lagi bersama parti asal.

“Kalau pemimpin itu tidak dicalonkan PAS maka dia tidak boleh bertanding. Macam mana pula tiba-tiba dia kata menang kerana Pakatan, sedangan PAS yang mencalonkan mereka,” katanya.

Berucap sebelum itu katanya, Lulu Hypermarket dari Dubai merancang membuka cawangan di Kota Bharu tidak lama lagi.

Katanya, pihak pengurusan pasar raya besar dari Timur Tengah itu memilih tiga lokasi di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kota Bharu.

“Lulu mengutamakan produk tempatan. Ini memberi peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk mereka. Pasar raya itu juga mempunyai lebih 100 cawangan di seluruh dunia,” katanya.

Pada majlis itu QSR Brands Malaysia Holdings Sdn Bhd menyerahkan zakat perniagaan kepada Maik sebanyak RM90,000. – HARAKAHDAILY 24/8/2015

Share on Myspace