Dihalau tidak ubah seperti rakyat Palestin

IZWAN ABDUL HALIM | .

KOTA KINABALU: Walaupun telah lebih 30 tahun berkampung, namun nasib penduduk Kampung Blok B, Pasir Putih, Tawau tidak ubah seperti rakyat Palestin.

Mereka bukan sahaja diarah pindah, bahkan rumah mereka yang dibina sendiri dan diami sejak tahun 1983 diarahkan roboh dengan pampasan tidak setimpal.

Mereka hilang punca menghadapi keadaan itu, apatah lagi dengan pendapatan kecil yang rata-ratanya bekerja sebagai buruh kilang.

Lebih perit, usaha mendapat pembelaan dengan mengemukakan kes ke mahkamah juga berakhir dengan perintah merobohkan rumah sendiri dalam tempoh segera.

Berkongsi keperitan tersebut, Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama PAS Kawasan Kalabakan segera mendakap masalah bertemu dengan mangsa.

Menurut Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Peneroka Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Roslan Md Esa, ketika beliau tiba ke perkampungan itu, terdapat penduduk yang masih berteduh di kediaman mereka.

"Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah pun memotong bekalan elektrik. Mereka tiada tempat untuk berpindah kerana kedaifan dan kemiskinan.

"Mereka memberitahu saya, Adun Merotai pernah menjanjikan tapak rumah sebagai ganti untuk rumah yang diroboh, tetapi akhirnya tinggal janji.

"Semua mereka ini orang Islam. Keadaan mereka tak ubah seperti nasib rakyat Palestin," luah Ustaz Roslan sayu.

Menurutnya sebanyak 60 buah rumah terlibat dengan perintah itu dengan alasan untuk tujuan pembesaran sungai.

Bagi beliau, tindakan tersebut dilaksanakan tanpa budi bicara sewajarnya dan ia satu kezaliman yang menuntut pembelaan.

Katanya, lajnah beliau akan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak sewajarnya demi hak dan keadilan kepada penduduk.

Ujarnya lagi, banyak kes sebegini yang ditutup dari pengetahuan umum, sedang penduduk mendekam rasa ditindas sedemikian rupa.

"Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Memang tidak berperikemanusiaan. Adakah ini slogan "Rakyat Didahulukan" yang dibangga-banggakan?

"Kami akan khabarkan ke seluruh negara. Biar rakyat tahu agar mereka bangkit melakukan perubahan dan menumbangkan BN pada PRU akan datang," tegasnya.

Pada lawatan itu, Roslan turut menyampaikan sumbangan generator dan bantuan keewangan kepada penduduk bagi memudahkan urusan mereka dalam tempoh mendiami sementara kawasan itu.

Hadir sama pada lawatan itu ialah Yang DiPertua PAS Kawasan Kota Kinabalu, Ustaz Mohd Zulfikar Abd Mijan; Ketua Pemuda PAS Kawasan Kalabakan, Osman Madeaming dan Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Klang, Ustaz Khalid Nayan. – HARAKAHDAILY 24/8/2015

Share on Myspace