Kerajaan persekutuan jangan salah guna tanah awam

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya menjual tanah yang telah diserahkan oleh pemaju kepada mereka untuk kemudahan awam bagi tujuan-tujuan lain, demikian tegas Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad.

Katanya kebenaran merancang yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk projek pembangunan yang berskala besar mewajibkan pemaju menyerahkan tanah-tanah untuk dibina kemudahan-kemudahan awam seperti sekolah, klinik, balai polis, balai bomba dan sebagainya.

Katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, bagi kemudahan-kemudahan awam yang dibina oleh Kerajaan Persekutuan, tanah-tanah tersebut diserah kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

"Tetapi terdapat kes iaitu tanah yang diserahkan tidak dibina dengan kemudahan awam yang sepatutnya.

"Contohnya, ada satu kes di mana tanah yang diserahkan oleh pemaju untuk Balai Polis, telah dijual kepada syarikat swasta yang berhasrat membangunkan pangsapuri perkhidmatan di atas tapak tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, walaupun telah tidak ada keperluan untuk membina balai polis tetapi ia tidak adil kepada pemaju yang telah menyerahkan tanah mereka untuk kemudahan awam.

Tegas Iskandar, Kerajaan Persekutuan sepatutnya lebih bertanggungjawab dan tidak mengaut sebarang keuntungan daripada sebarang serahan tanah oleh pemaju untuk kemudahan awam.

"Untuk mengelakkan kejadian seperti ini berulang, kerajaan negeri telah menetapkan secara khusus sebarang tanah yang diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk kemudahan awam hanya boleh dibangunkan untuk tujuan asal ia diserahkan.

"Kerajaan negeri juga akan mengawal kegunaan tanah yang diserahkan melalui Rancangan Tempatan yang menetapkan kegunaan tanah," ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/8/2015

Share on Myspace