Skandal 1MDB: Perkhidmatan awam akan rosak

NASRUDIN HASSAN | .

SETELAH satu persatu anggota kanan penjawat awam lantang bersuara mempersoalkan campur tangan politik dalam skandal 1MDB, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berpandangan ini akan merosakkan agensi strategik perkhidmatan awam di negara ini.


Ini berpunca daripada skandal 1MDB. Beberapa agensi strategik seperti Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara, Jabatan Audit Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan terbaru Cawangan Khas Polis Di-Raja Malaysia semuanya seolah-olah dikawal oleh pihak tertentu untuk menutup skandal 1MDB.

Berikut merupakan beberapa tindakan politik yang boleh dipersoalkan;

a. Pertukaran Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC) ke jawatan Timbalan Menteri sebelum prosiding 1MDB diselesaikan. Difahamkan, prosiding seterusnya akan melibatkan Presiden 1MDB dan taikun bisnes Jho Low.

b. Laporan interim siasatan audit 1MDB oleh Ketua Audit Negara masih tidak boleh diklasifikasikan sebagai dokumen awam walaupun ia telah diserahkan kepada PAC.

c. Pemberhentian khidmat secara tiba-tiba Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015 walaupun beliau akan bersara wajib pada 9 Oktober 2015.

d. Penangkapan beberapa pegawai SPRM sehingga mengganggu siasatan yang sedang dijalankan. Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zain bertegas akan mencari dalang di sebalik arahan penangkapan tersebut.

e. Pertukaran mengejut Timbalan Pengarah Cawangan Khas PDRM, Datuk Abdul Hamid Bador ke Jabatan Perdana Menteri minggu lalu. Beliau turut mendedahkan terdapat usaha tertentu untuk menyembunyikan saksi siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

Lima tindakan politik ini sangat serius ia dan boleh merosakkan fungsi perkhidmatan awam yang sebenar khususnya di bahagian penguatkuasaan. Secara tidak langsung, para penjawat awam tidak dapat mencurah khidmat setianya untuk kepentingan negara sebaliknya terpaksa mengikut telunjuk pihak-pihak tertentu. Hanya mereka yang kuat akan terus berdiri.  

Ini tidak termasuk bagaimana tindakan beberapa syarikat berkaitan kerajaan dan institusi dana awam yang digunakan sewenang-wenangnya untuk terlibat secara langsung dalam pelan rasionalisasi hutang 1MDB. Sebagai contoh, Lembaga Tabung Haji (LTH), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Affin Bank Bhd.

PAS berharap agar rakyat celik dengan perkembangan yang berlaku dan bangkit mempertahankan hak rakyat serta negara daripada dicabuli oleh pihak-pihak tertentu khususnya dalam kes skandal 1MDB yang sedang berlaku sekarang. Kita yakin ‘bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiur’.- HARAKAHDAILY 24/8/2015

Share on Myspace