PAS Selangor tidak akan serah kerusi kepada GHB

JUHANI RAHMAN | .

SHAH ALAM: PAS Selangor menegaskan tidak akan menyerahkan sebarang kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dimiliki atau pernah ditandinginya kepada Gerakan Harapan Baru (GHB) dalam pilihan raya akan datang.

Setiausaha, Mohd Khairuddin Othman sebaliknya, menasihatkan parti serpihan itu supaya mencuba nasib dengan bertanding di Sabah, Sarawak atau mana-mana kawasan yang tidak ditandingi oleh PAS.

"Saya minta kalaulah GHB ini benar-benar menganggap PAS ini bukan musuh, kita minta mereka bertanding di kawasan Sabah, Sarawak yang kita tidak bertanding.

"Bertanding sana dahulu, baru datang ke mari," ujarnya dalam sidang media di pejabat Perhubungan PAS Selangor, petang tadi.

Bagaimanapun, katanya yang juga Adun Paya Jaras, sekiranya GHB masih berdegil untuk bertembung tiga penjuru dengan PAS, sejarah akan mengingatinya sebagai punca kemenangan Barisan Nasional.

"Saya nak bagitahu kepada GHB, dalam 30 tahun akan datang, sejarah akan mengingati GHB ini sebagai parti yang memenangkan BN dalam pilihan raya akan datang.

"Kalau GHB mahu dikenangi cara itu, silakan tapi kalau dia menganggap kita akan beri laluan dalam pilihan raya akan datang, kita tidak akan beri laluan sebab itu kerusi kita," ujarnya.

Mengulas perkembangan semasa PAS, katanya, parti Islam itu terus menerima keahlian baharu secara besar-besaran dari seluruh negara manakala di Selangor pula, sebanyak 10,000 borang keahlian sedang dikumpulkan. - HARAKAHDAILY 24/8/2015

Share on Myspace