Sokong gesa wakil rakyat keluar PAS letak jawatan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menyokong penuh saranan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar mana-mana wakil rakyat PAS yang meninggalkan parti dan menyertai Parti Amanah Rakyat meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat dan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat.

"Saranan ini sangat rasional kerana mereka yang menang sebagai wakil rakyat dalam PRU yang lalu bukanlah atas kapasiti peribadi tetapi atas tiket PAS berlambang bulan dengan bantuan penuh dari sudut kewangan dan tenaga kerja," ujar Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad.

Rakyat juga, katanya memberi mandat kepada mereka sebagai wakil rakyat PAS bukannya sebagai wakil rakyat Parti Amanah Rakyat.

Tambahnya, begitu juga wakil-wakil rakyat PAS telah berjanji setia untuk kekal bersama PAS.

Menurut beliau lagi, sekiranya mereka keluar daripada PAS selepas menang mereka juga berjanji akan meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.

Jika tidak, ujar beliau sebagaimana ikrar mereka segala gaji dan elaun yang mereka perolehi adalah haram atas mereka.

"Atas maruah sebagai seorang muslim yang berjanji maka ianya sepatutnya ditepati dan bukan diengkari. Hanya golongan munafik sahaja mengengkari janji-janji mereka," ujarnya daalm satu kenyataan.

Apatah lagi, kata beliau ikrar yang dibuat oleh wakil-wakil rakyat PAS adalah ikrar yang dimulakan dengan lafaz sumpah Wallahi Wabillahi Watallahi.

Tegasnya, ia meletakkan mereka dalam situasi terikat dengan hukum sumpah dalam Islam.

"Sekian lama sebelum ini kita mengkritik wakil-wakil rakyat yang meninggalkan parti dan melompat ke parti lain sebagaimana berlaku di Perak yang menyebabkan kejatuhan kerajaan PR Perak, maka begitulah sebagai seorang wakil rakyat bermaruah sewajarnya meletakkan jawatan apabila keluar daripada PAS," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 25/8/2015

Share on Myspace