Saham FGV menjunam, kerajaan terus membisu

NARAZA MUDA | .

MENELITI kedudukan urusniaga saham FGV minggu lepas dan hari pertama minggu ini menyaksikan berlaku unjuran kejatuhan yang berterusan.

Perkembangan terkini ini, menjadi tanda tanya dan keluh resah para peneroka Felda.

Apakah langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menstabilkan kembali kedudukan saham ini agar tidak terus merudum?

Apakah saham terbesar selepas Facebook ini akan menerima nasib yang sama seperti saham-saham lain yang sudah lesu bahkan lenyap dari senarai syarikat yang disenaraikan. Peneroka Felda bimbang saham FGV menjadi seperti saham negeri ASDI dan ASJ.

Peneroka Felda juga resah, walaupun rata-rata mereka hanya memiliki 800 unit sahaja seorang, mereka bimbang kesan yang bakal menimpa kepada FGV dan Felda kelak.

Apakah kesudahan tanah 350,000 hektar yang dipajak kepada FGV?

Peneroka Felda bukanlah dalam kalangan mereka yang mahir dengan sepak terajang pasaran saham ini, apatah lagi ingin bercakap pasaran saham dunia, naik turun indeks dan nilai mata wang kita yang  merudum  teruk sejak minggu lalu.

Apa yang peneroka mahu ialah kenyataan berterusan dari pihak Felda dan Kerajaan, memberitahu kedudukan sebenar keadaan semasa. Perancangan segera dan jaminan hitam putih dari kerajaan akan nasib serta cabaran yang bakal terpalik kepada peneroka Felda.

Dengan kejatuhan harga semasa BTS yang dijual terus kepada kilang Felda, meresahkan lagi hati peneroka Felda. Harga terkini BTS dibawah paras RM390 setan metrik bagi KPG 19 peratus sejak minggu lalu.

Kerajaan tidak sepatutnya mengambil sikap membisu dan membiarkan keadaan gawat ini berterusan dan menjejaskan kehidupan hampir 2 juta warga Felda Seluruh negara.

Jika kerajaan sedar peranan peneroka Felda yang selama ini memberi kemenangan besar kepada umno melalui 54 Parlimen dan 92 Dun, adalah sangat kejam membiarkan keserabutan ini bermain di benak fikiran peneroka Felda yang rata-rata warga emas.

Pihak Hak Ehwal Felda Pas Pusat mendesak supaya Perdana Menteri segera mengumumkan pelan pemulihan dan memberi jaminan bertulis bahawa peneroka tidak akan terjejas andai harga saham FGV ini tidak dapat dipulihkan lagi. - HARAKAHDAILY 25/8/2015

Penulis ialah Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat.

Share on Myspace