Saham merudum, peneroka diseru bangkit tumbang BN

HARAKAHDAILY | .

HARGA saham FGV merudum lagi, kali ini jatuh ke paras lebih membimbangkan iaitu RM1.21.

Sejak dari mula lagi apabila Felda mahu disenaraikan ke Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), PAS menentang keras usaha itu.

Apatah lagi pengerusi Felda yang mencadangkan penyenaraian itu insan yang sangat dikenali akan integritinya yang dipertikai iaitu Tan Sri Isa Samad.

Kini harga sesaham FGV merimaskan mata dan melajukan degupan jantung para peneroka Felda.

Tanah Felda hanya satu-satunya punca rezki mereka. Jika tanah ini tergadai suatu masa nanti pastinya sumber rezki mereka 'putus'.

Sejak menduduki Felda selepas idea memberikan tanah secara bayaran ansuran melalui potongan hasil bulanan yang diilhamkan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, peneroka Felda bergantung penuh kepada hasil bumi Felda.

Felda lambang kebanggaan Malaysia apabila menjadi antara syarikat yang benar benar bejaya. Namun selepas kemasukan Tan Sri Isa Samad ke lubuk emas itu, sedikit demi sedikit masalah mendatangi Felda.

Bukan sahaja menjadikan Felda bahan eksperimen sebaliknya kini Felda menjadi tempat kroni mendapatkan apa yang mereka ingini termasuk menggondolkan hasil mahsul Felda yang dibina sejak puluhan tahun lamanya.

Daripada menjadikan warga Felda jutawan fakir suatu masa lalu khasnya di beberapa Felda seperti Sungai Buaya, LBJ dan Sendayan, kini nasib keseluruhan warga Felda diperjudikan dengan idea bankrap kapitalis meletakkan FGV ke BSKL dua tahun lalu yang akhirnya kini menyebabkan nilai sesaham jatuh mendadak.

Selain itu, kami melihat bahawa terlalu banyak persoalan dan kekeliruan tidak terjawab oleh pihak pengendali Felda khususnya yang membabitkan urustadbir ladang, pengurusan hasil yang dimanipulasi.

Isu ketiadaan peruntukan urus tadbir tanah rancangan khasnya membangunkan rumah generasi kedua

Isu kehilangan aset felda, isu KPF ditendang keluar dari Felda, isu tanam semula, isu hutang menggunung yang menghantui peneroka, isu harga komoditi yang menyedihkan, isu sosial dan semua ini memangsakan peneroka dan generasinya.

Bertitik tolak daripada isu isu yang saya sebutkan tadi, Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan ini menyeru seluruh warga Felda bangkit menyatakan hak dan menumbangkan kerajaan BN yang angkuh yang tidak membela nasib rakyat.

Pilihan Raya Umum ke-14 nanti adalah wadahnya dan saya juga menyeru masyarakat Felda turun beramai ramai menyatakan usul dan hak dalam Kongres Rakyat yang dianjurkan pada 12 September ini.

Tunjukkan komitmen bahawa masyarakat Felda bangkit menentang penindasan. - HARAKAHDAILY 25/8/2015

USTAZ ROSLAN MD ESA
Pengerusi Lajnah Tanah dan Peneroka Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace