Hanya yang bermasalah keluar DHPP Selangor

JUHANI RAHMAN | .

DEWAN Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Selangor menyifatkan, tindakan segelintir ahlinya yang keluar parti itu untuk menyertai parti politik lain sebagai tidak cukup tarbiyah dan bermasalah.

Ketuanya, Datuk K Deepakaran berkata, berbanding ahli DHPP yang keluar, keahlian baharu yang mereka terima daripada golongan belum Islam adalah lebih ramai dan berkualiti sebagai pelapis kepada kepimpinan sayap PAS itu.

"Di Kelana Jaya dan Shah Alam, yang keluar itu satu dua orang sahaja iaitu ketua dengan timbalan. Tapi pelapis sudah ada malah makin ramai.

"Sabtu lepas, kita mesyuarat di Kota Raja, ramai nak sertai, keyakinan kepada PAS bertambah," ujarnya semalam dalam sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Selangor, Shah Alam.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan laporan akhbar kononnya dewan itu lumpuh selepas 20 cawangan dewan itu ditutup kerana peletakan jawatan ahli.

"Dalam DHPP, kita hanya ada kawasan, negeri dan pusat. Itu sahaja. Tidak ada cawangan.

"Perlembagaan, peraturan-peraturan tidak ada (sebut) cawangan (DHPP), macam mana 20 cawangan boleh keluar dari satu kawasan?" soalnya yang juga Naib Ketua DHPP Pusat.

Beliau juga menegaskan, DHPP yang dianggotai 5,000 ahli di Selangor akan terus beristiqamah dengan kepimpinan ulama PAS melalui pemantapan program dalaman. – HARAKAHDAILY 25/8/2015

Share on Myspace