Kebun sawit 6 ekar, dividen hanya RM500 sebulan

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Sejak kelapa sawit yang ditanam pada 1996 mengeluarkan hasil peserta program tanam semula berkelompok (TSK) Orang Asal di Kuala Betis hanya menerima dividen RM500 sebulan.

Ladang TSK seluas 2,400 ekar yang dibangunkan Risda itu membabitkan Koperasi Kijang Mas, My Mazal Plantation Sdn Bhd dan peserta kalangan Orang Asal serta penduduk Melayu.

Pemimpin masyarakat Orang Asal Kuala Betis, Luwi Anak Siam berkata seramai 282 penduduk Rancangan Pemulihan Tanah (RPS) Kuala Betis terbabit sebagai ladang tersebut.

Katanya, ladang itu yang dibangunkan pada 1985 dengan tanaman getah bagi meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan.

“Bagaimanapun disebabkan harga getah tidak stabil menyebabkan Jabatan Kemajuan Orang Asli menebang getah dan ditanam pula sawit.

“Ladang itu yang diurus di bawah Koperasi Kijang Mas sudah berapa kali berpindah tangan termasuk kepada Risda dan syarikat swasta,” katanya di sini.

Menurutnya setiap peserta projek TSK tersebut diberi lot kebun seluas kira-kira enam ekar.

Kata Luwi berdasar kepada keluasan ladang lebih 2,000 ekar tidak sepatutnya setiap peserta hanya menerima dividen hanya RM500 sebulan. - HARAKAHDAILY 25/8/2015

(Berita lanjut dalam Harakah cetak keluaran akan datang)

Share on Myspace