Kongres Rakyat tepat, bersesuaian pada masa ini

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat memberi perhatian penuh kepada penganjuran Kongres Rakyat oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang dijadualkan pada 12 September ini.

Pengerusinya, Dr Rosni Adam berkata, dalam usaha membentuk sebuah masyarakat dan negara yang di dalamnya mengamalkan nilai-nilai berkebajikan, kesejahteraan hidup duniawi dan ukhrawi, lajnah itu merasakan penganjuran Kongres Rakyat pada masa ini amat tepat dan bersesuaian.

Tambahnya, sebagai lajnah yang berkait langsung dengan hal-ehwal kemasyarakatan, pihak lajnah amat memahami perit dan derita rakyat yang dihimpit pelbagai kesulitan akibat dari himpitan hidup semasa pada masa kini.

"Justeru, kami menyeru agar setiap lapisan masyarakat sama ada secara individu, NGO, CSO dan badan-badan professional menyertai Kongres Rakyat yang akan dilangsungkan kelak," ujarnya.

Menurutnya lagi, melalui penganjuran Kongres Rakyat, tentu sekali setiap lapisan rakyat berpeluang menyatakan pandangan dan luahan perihal apa yang didepani pada masa kini secara lebih teratur dan terancang.

"Bagi pihak lajnah, kami akan sedaya mampu mengusahakan agar kongres yang akan diadakan tidak terhenti di situ sahaja, bahkan akan bergerak berterusan seiring dengan perubahan yang diinginkan rakyat di Malaysia," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 25/8/2015

Share on Myspace