Kongres Rakyat rangka pelan tangani nasib rakyat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS Terengganu menyifatkan Kongres Rakyat yang bakal diadakan pada 12 September ini sebagai langkah alternatif terbaik untuk merangka pelan tindakan bagi menangani isu semasa yang sedang melanda rakyat negara ini.

Pesuruhjayanya, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, idea yang dikemukakan oleh Presiden PAS itu wajar direalisasikan sebagai usaha untuk membela nasib rakyat yang kini menghadapi pelbagai tekanan termasuklah isu penyelewengan dan terkini kejatuhan nilai mata wang negara.

"Oleh kerana PAS sudah putuskan tidak ada kerahan ahli ke Bersih 4.0, jadi kita akan kerahkan ahli dan penyokong kita juga NGO di peringkat negeri untuk hadir ke kongres itu nanti," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Malahan, katanya PAS Terengganu akan cuba memenuhi hasrat penganjur untuk mengajak badan bukan kerajaan bagi memenuhui undangan ini.

"Di sini kita ada ramai NGO di bawah satu bumbung dan kita yakin mereka akan turut serta dalam kongres itu nanti," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Paka).

PAS bercadang mengadakan Kongres Rakyat pada 12 September ini di ibu kota. Kongres ini sebagai usaha menggerakkan kebangkitan rakyat dan memimpin tindakan terancang ke arah menuntut perubahan total dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan negara.

Kongres Rakyat ini akan mengumpul semua pihak sama ada individu, NGO, parti politik dan seluruh warga prihatin termasuk mahasiswa dan aktivis sosial ke  arah melahirkan resolusi dan plan tindakan yang berkesan bagi membina negara yang selamat dari segala rupa korupsi dan penyelewengan kuasa. - HARAKAHDAILY 25/8/2015

Share on Myspace