212 kematian akibat denggi direkodkan setakat ini

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Sebanyak 212 kematian akibat demam denggi direkodkan di seluruh negara setakat ini, meningkat 72.4 peratus berbanding 123 kematian bagi tempoh sama tahun lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pada minggu ke-32 iaitu dari 9 hingga 15 Ogos lepas, sebanyak 11 kematian dicatatkan daripada 2,532 kes yang dilaporkan.

Katanya terdapat tujuh negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Johor 72 kes, Perak (24), Pulau Pinang (19), Negeri Sembilan (18), Sabah (sembilan), Melaka (enam) dan Kelantan (satu).

"Dari Januari hingga 15 Ogos, jumlah kumulatif kes denggi adalah 75,795 kes, berbanding 59,790 kes bagi tempoh yang sama 2014, iaitu peningkatan sebanyak 26.8 peratus (16,005 kes)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada minggu ke-32 juga, katanya, terdapat 994 lokaliti wabak yang masih aktif dilaporkan di 12 negeri.

Dr Noor Hisham berkata 599 lokaliti dilaporkan di Selangor, Johor (223), Perak (41), Kelantan (32), Pulau Pinang (19), Melaka (18), Kuala Lumpur dan Putrajaya (17) dan Negeri Sembilan (11).

"Negeri lain iaitu Pahang, Sabah, Sarawak, dan Terengganu melaporkan kurang daripada 10 lokaliti," katanya.

Beliau berkata penglibatan masyarakat dalam aktiviti pencegahan denggi seperti mencari dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes dan gotong-royong perlu diberikan penekanan oleh semua pihak terutama di negeri yang mengalami peningkatan kes. - Bernama

Share on Myspace