Pendedahan: Integriti kerajaan sudah musnah

HARAKAHDAILY | .

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyifatkan pendedahan yang telah dibuat oleh bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas PDRM Datuk Abdul Hamid Bador bahawa ketegasan beliau di dalam isu siasatan terhadap 1MDB menjadi antara punca beliau ditukar ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah suatu pendedahan yang sangat memalukan kerajaan.

Ia sekaligus membuktikan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sudah hilang integriti sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi cerita sebenar di sebalik 1MDB.

DPPM percaya bahawa maklumat yang diperkatakan oleh Datuk Abdul Hamid di dalam sidang medianya kelmarin bukanlah satu maklumat yang mentah justeru ia diungkapkan oleh bekas timbalan pengarah cawangan khas sendiri yang telah berkhidmat selama 37 tahun di bahagian tersebut. Lebih menarik lagi apabila beliau sendiri dengan tegas meminta supaya ‘pihak-pihak’ tertentu tampil ke hadapan untuk memberikan maklumat yang sebenar berhubung 1MDB.

DPPM ingin menarik perhatian seluruh lapisan masyarakat Malaysia terhadap sidang media yang dibuat oleh Datuk Abdul Hamid ini yang secara tidak langsung telah menjadi bukti terhadap kebenaran dakwaan bahawa kerajaan sedang menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan rakyat dalam isu 1MDB ini.

Kenapakah pula Datuk Abdul Hamid sendiri ditukar ke JPM untuk mengisi jawatan yang belum diwujudkan lagi? Kenapakah urusan pertukarannya dibuat secara tergesa-gesa seolah-olah tidak sabar menunggu hari siang untuk mendengar ayam jantan berkokok?

Paling menarik apabila Datuk Abdul Hamid sendiri menyatakan rasa tidak setuju terhadap penangkapan beberapa orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat di dalam menyiasat kes berhubung 1MDB ini.

Jika benar seorang pegawai tinggi Cawangan Khas sendiri tidak bersetuju dengan tangkapan ini, maka siapakah pemain sebenar yang sedang berperanan di negara ini? DPPM mencabar kerajaan untuk bertindak menyatakan respons dengan segera terhadap pendedahan Datuk Abdul Hamid ini.

Hakikatnya, pendedahan yang dibuat oleh Datuk Abdul Hamid ini hanyalah salah satu manifestasi kebimbangan rakyat seluruhnya terhadap kemampuan kerajaan menyelesaikan isu yang menarik perhatian semua pihak ini. Tidak mustahil, kegagalan kerajaan mendapatkan kepercayaan umum terhadap kejujuran dan ketelusan inilah yang menyebabkan nilaian mata wang negara semain menjunam. Tiada lagi harapan untuk rakyat melihat kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib ini mentadbir dengan telus dan jujur.

Pilihan berada di tangan rakyat untuk melangkah membina Malaysia yang lebih sejahtera. - HARAKAHDAILY 25/8/2015

AHMAD FADHLI SHAARI,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace