Ekonomi gawat paksa rakyat miskin kerja keras

SALMAH MAT HUSAIN|FOTO RIZAL TAHIR | .

TUMPAT: Kegawatan ekonomi dan kejatuhan nilai Ringgit yang sukar dibendung kerajaan sekarang memaksa rakyat berpendapatan rendah bekerja lebih keras.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan dilihat seperti gagal membendung kejatuhan mata wang apabila semakin parah sekarang.

Katanya, keadaan itu bertambah gawat lagi bila mana harga komoditi yang dieksport seperti getah, kelapa sawit dan minyak turun.

“Bukan hanya mata wang yang turun, sebaliknya bahan-bahan eksport kita juga susut nilainya apabila berlaku pertukaran mata wang asing,” katanya ketika merasmikan projek Bandar Baru Tumpat di sini hari ini.

Projek Bandar Baru Tumpat yang bernilai RM80 juta dijangka siap dua tahun lagi, bakal berubah wajah pekan Tumpat.

Projek itu hasil kerjasama Majlis Daerah Tumpat (MDT) dan syarikat Induk Setia Sdn Bhd dibangunkan di kawasan seluas 6.62 hektar.

Ia bakal mengandungi rumah kedai, lot bazar dua tingkat mampu milik 82 unit, stesen bas dan perhentian teksi.

Hadir sama anggota-anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Mejar (B) Datuk Mohd Anizam Ab Rahman, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim dan Ketua Jajahan Tumpat, Mohd Saberi Ramli.

Ustaz Ahmad juga berharap pembangunan Bandar Baru Tumpat akan merangsang lebih cepat pertumbuhan ekonomi jajahan tersebut.

Menurutnya juga Tumpat terkenal sebagai lokasi pelancongan memberi peluang penduduk setempat menceburi bidang perniagaan dengan memiliki lot-lot bazar di bandar baru terbabit.

Pengarah Induk Setia Sdn Bhd Mohd Yusof Salleh pula memberitahu bandar baru tersebut mampu menyediakan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan apabila siap kelak. - HARAKAHDAILY 25/8/2015

Share on Myspace