Kenaikan harga rumah terus himpit rakyat

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Sekiranya situasi harga rumah 4.4 kali ganda daripada pendapatan tahunan isi rumah dibiarkan berterusan dibimbangi wujud ketakutan pasaran industri perumahan di negara ini.

Kesannya akan menghasilkan masalah sosial yang terus menghimpit rakyat.

Pengerusi Ikatan Eksekutif dan Teknorat Malaysia (Metra) Abdul Ariffahmi Ab Rahman berkata senario itu mendorong pembeli bakal berdepan syarat pinjaman yang ketat daripada institusi kewangan.

Kata beliau kesannya menyebabkan permohonan pinjaman terkandas di bank apabila pembeli berdepan bayaran pendahuluan yang tinggi.

“Dalam kes biasa ramai pembeli membatalkan hasrat membeli rumah kerana tidak mampu membayar wang pendahuluan.

“Keadaan itu merugikan semua pihak terutama pembeli dan pemaju hartanah,” katanya di sini.

Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) semalam mendedahkan harga rumah di Malaysia kini dikategorikan sebagai tidak mampu dimiliki rakyat di negara ini.

Kajiannya mendedahkan Malaysia mencatat harga rumah penengah (median) 4.4 kali ganda berbanding pendapatan tahunan isi rumah.

Abdul Ariffahmi juga berkata trend reka bentuk dan pasaran kediaman yang mempunyai pelbagai kemudahan dan nilai tambah melonjakkan harga jualan.

Katanya keperluan pemasangan sistem keselamatan canggih di kediaman baru memaksa pemaju menaikkan harga jualan untuk menampung kos.

Oleh itu beliau berkata Metra mencadangkan beberapa solusi yang boleh dipertimbangkan kerajaan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu menyediakan banyak tanah yang berpotensi untuk pembinaan rumah mampu milik dengan premium yang rendah bagi meringankan bebanan pemaju menyediakan kemudahan dan infrastuktur.

“Selain itu Pihak Berkuasa Tempatan dan kerajaan negeri perlu mencari formula mempercepatkan proses kelulusan kebenaran merancang dan pelan bangunan dengan mengurangkan turutan proses kelulusan,” katanya.

Menurutnya sekiranya cadangan itu dijadikan dasar bagi projek perumahan baru membolehkan pemaju mengurangkan kos pegangan hasil pembelian aset atau bayaran premium tanah.

Kata beliau proses yang lebih cepat membolehkan peluang untuk harga rumah diturunkan ke paras munasabah.

“Semua pihak yang terlibat terutama pihak berkuasa Persekutuan dan negeri perlu menghapuskan birokrasi ke paras minima yang menjadi barah dalam pentadbiran,” ujarnya.

Abdul Ariffahmi juga mencadangkan Jabatan Agama dan Majlis Agama Negeri menggunakan tanah wakaf sepenuhnya untuk menyediaan kediaman mampu milik.

Katanya, sehingga sekarang banyak aset itu didapati terbiar sedangkan ia berpotensi dibangunkan kemudahan rumah mampu milik untuk rakyat.

Beliau berkata tanah wakaf tidak digunakan untuk menyelesaikan masalah rakyat kerana tiada keazaman politik sehingga menyebabkan rakyat miskin tidak terbela. - HARAKAHDAILY 25/8/2015

Share on Myspace