Jangan perjudi masa depan pelajar - Pemuda PAS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyarankan Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa mengutamakan kepentingan pendidikan rakyat dan konsisten dalam pelaksanaan sesuatu dasar atau struktur bagi memastikan ia diberi keutamaan serta prestasi yang terbaik.

"DPPM ingin tegaskan supaya pertukaran menteri tidak boleh menjejaskan pelan pendidikan yang telah dilancarkan sebelum ini," ujar Timbalan Ketua DPPM, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Menurutnya, pasca penstrukturan kabinet terbaru Perdana Menteri, sekali lagi sektor pendidikan di Malaysia dipisahkan kepada dua kementerian setelah ia disatukan di bawah satu bumbung sebelum ini pada tahun 2013 atas nama Kementerian Pelajaran.

Katanya, pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi (2004) dua buah kementerian ini pernah disatukan dengan nama Kementerian Pelajaran.

Kemudian, kata beliau istilah ‘pelajaran’ telah ditukar kepada ‘pendidikan’ kerana berpendapat ia lebih tepat.

Tambahnya, DPPM bimbang perkara ini turut akan menjejaskan intipati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang telah digazetkan beberapa bulan lalu.

Justeru, ujarnya DPPM menggesa pihak Kementerian Pendidikan mengkaji pelbagai aspek secara matang sebelum sesuatu polisi dikuatkuasakan tanpa memperjudikan nasib para pelajar dan menyulitkan tugasan para guru di negara ini.

Beberapa hari lalu, katanya Lembaga Peperiksaan telah menangguhkan pelaksanaan syarat wajib lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2016.

Menurutnya lagi, surat pekeliling mengenai polisi ini telah dikeluarkan sejak bulan Disember 2014, namun ia secara tiba-tiba ditangguhkan menjelang 3 bulan daripada tahun pelaksanaannya tanpa sebab yang diperincikan.

Beliau berkata, perkara yang sama juga telah berlaku sebelum ini dalam melaksanakan polisi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Polisi tersebut, kata beliau akhirnya telah dimansuhkan pada tahun 2009/2012.

"Tidak mustahil ia akan dilaksanakan semula setelah banyak pihak yang dilihat melobi untuk meneruskan kembali polisi tersebut sejak tahun lepas.

"Kemudian, wujud pula dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) pada 2011," katanya dalam satu kenyataan.

Isu yang sama, kata beliau turut berlaku dalam pelaksanaan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang mula diperkenalkan kepada pelajar tahun 1 tahun 2011.

"Pada tahun hadapan, kita akan menyaksikan pula perubahan sistem dalam peperiksaan UPSR setelah kita melihat pelbagai kontroversi yang timbul akibat daripada pelaksanaan yang terburu-buru dalam sistem Peperiksaan Tingkatan Tiga (PT3)," ujarnya lagi.   

Beliau menambah, DPPM berpendapat kesan negatif terhadap pelaksanaan polisi-polisi baru pendidikan wajar diminimumkan supaya para pelajar tidak terkeliru dan dijadikan bahan eksperimen pihak-pihak tertentu.

"Banyak isu utama pendidikan perlu diberikan perhatian yang serius dan menuntut solusi yang efektif serta efisyen. Elakkan flip flop policy dan utamakan hasilan yang lebih cemerlang," kata beliau. - HARAKAHDAILY 26/8/2015

Share on Myspace