PAS kongsi pengalaman bersama Hamas Algeria

IZWAN ABDUL HALIM | .

ALGERIA: Gerakan Islam mesti istiqamah berjuang untuk menegakkan syariat Allah biarpun menempuh mehnah yang berat dan terpaksa bersendirian memartabatkan agenda tersebut, demikian seru Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

“Sebagai Gerakan Islam, kita mesti istiqamah membawa manhaj wasatiyyah di dalam mendepani cabaran semasa. Penting juga kita memberi penekanan ilmu dan kemahiran kepada para anggota kita untuk memikul cabaran dakwah di medan umat,” katanya berucap dalam Himpunan Musim Panas Parti Masyarakat Sejahtera di Algeries, di sini pada 25 Ogos.

Dalam pertemuan tersebut, beliau turut menceritakan perkembangan terkini berhubung nasib umat Islam Rohingya di Myanmar yang dizalimi di negara mereka hingga ramai menjadi pelarian.

Harakah Mujtama Silm (Hamas) merupakan Gerakan Islam utama di Algeria dan penyertaan mereka dalam pilihan raya negara itu menatijahkan perolehan 51 kerusi daripada 460 parlimen, sekaligus menjadikan parti Islam tersebut sebagai pembangkang terbesar.

Menurut Ustaz Khalil, parti tersebut memiliki pengalaman selama 15 tahun berada dalam kerajaan, tetapi pada pilihan raya penggal lalu mengambil pendekatan untuk tidak bersama kerajaan dan menjadi pembangkang.

Rombongan beliau itu turut disertai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri; Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Yahya Ali dan Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

Pada kesempatan tersebut rombongan turut mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Hamas yang terletak di Ibu Negara itu. – HARAKAHDAILY 26/8/2015

Share on Myspace