Tangani krisis ekonomi negara, elak mudarat lebih besar

HARAKAHDAILY | .

Laporan akhbar The Star 24 Ogos yang menyentuh mengenai kelembapan industri teksi di negara ini begitu membimbangkan. Ia boleh dirujuk di http://www.thestar.com.my/…/Taxi-industry-declines-as-driv…/.

Dalam laporan tersebut menyatakan faktor peningkatan kos pengangkutan dan berkurangnya penumpang menyebabkan ramai dikalangan pemandu teksi mula meninggalkan industri tersebut dan beralih kepada yang lebih murah.

Malah, terdapat di kalangan pemandu teksi yang menyatakan kerisauan mengenai bebanan terhadap peningkatan harga gas NGV dan perlaksanaan sistem cukai GST yang menambah beban seharian mereka sebagai pemandu teksi.

Secara asasnya, isu yang melanda industri teksi ini merupakan suatu tekanan yang dihadapi rakyat terhadap masalah ketidakstabilan politik dan ekonomi yang melanda negara mutakhir ini.

Kedegilan kerajaan melaksanakan GST pada April yang lalu di kala kedudukan ekonomi rakyat yang masih tidak menentu adalah sesuatu yang menyumbang kepada kesengsaraan yang berpanjangan kepada rakyat. Saya yakin, GST dilaksanakan tidak lain hanya bertujuan bagi menanggung hutang awam yang tinggi. "Kerajaan sibuk buat hutang, rakyat diperas membayarnya".

Tambahan lagi negara berhadapan pula dengan krisis kejatuhan nilai ringgit sehingga ke paras yang semakin meruncing. Sewaktu negara berhadapan dengan ancaman spekulasi ketika krisis 1997-98 dahulu, harga satu dollar pada Januari 1998 pernah mencecah RM4.88 sebelum diikat pada RM3.80 sedollar pada September tahun yang sama. Kini, nilainya semakin meningkat naik kepada RM4.24 sedollar.

Kejatuhan nilai ringgit memberikan kesan yang berpanjangan kepada pengurusan kewangan rakyat. Peningkatan kadar inflasi (atau lebih tepat Indeks Harga Pengguna) menjadikan rakyat terpaksa mengurangkan perbelanjaan harian mereka. Pertimbangan terhadap harga bagi sesuatu perkhidmatan dan barangan diambil kira dan kelembapan industri teksi merupakan salah satu implikasi terhadap apa yang sedang dirasai rakyat.

Apa yang lebih membimbangkan, isu yang berlaku kepada industri teksi akan turut merebak ke dalam industri-industri yang lain disebabkan faktor 'kuasa membeli' yang semakin menguncup di kalangan pengguna dan ini seterusnya mendorong kepada kelembapan ekonomi negara dalam tempoh yang panjang.

Keadaan menjadi semakin meruncing disebabkan ketidakstabilan politik yang berlaku akibat isu skandal hutang 1MDB, diikuti misteri dana ke akaun peribadi Perdana Menteri bernilai RM2.6 bilion. Isu-isu ini telah menghakis integriti Malaysia di peringkat domestik malah di peringkat antarabangsa juga.

Kerajaan cuba bertahan dengan memberikan alasan kejatuhan ringgit disebabkan faktor peningkatan kadar faedah dan pengukuhan data pekerjaan di US. Malah, matawang di negara-negara serantau juga dikatakan menerima nasib yang sama dengan ringgit.

Namun, persoalan timbul, mengapa kadar kejatuhan nilai ringgit lebih besar berbanding matawang dalam 'basket of currencies' di negara Asia? Ia jelas memberikan isyarat bahawa ketidakstabilan politik negara ketika ini adalah faktor yang memberi kesan berganda (catalyst) kepada kejatuhan matawang negara.

Kerajaan sayugia menyediakan satu rancangan penyelesaian yang konkrit. Rakyat masih keliru dan terpinga-pinga dengan pelbagai jawaban dan jaminan oleh pihak kerajaan yang nyata tidak selari dengan kegawatan yang semakin teruk. Isu 1MDB, GST dan lain-lain masih menjadi persoalan yang belum berjawab.

Meskipun kerajaan menyatakan komitmen untuk menyelesaikan isu 1MDB dalam tempoh masa enam bulan, ia tidak cukup untuk menghadirkan rasa yakin bagi rakyat yang melihat tiada jalan konkrit yang dinyatakan mengenainya. Akhirnya, apakah 'beban' penyelesaian itu akan dipindahkan sekali lagi kepada rakyat?

PAS menyeru kepada pembinaan polisi dan tata kelola yang lebih telus, bertanggung jawab dan berintegriti oleh pihak kerajaan. Kerosakan adalah akibat kesalahan dan jenayah yang selalu disembunyikan dan dicucikan dengan penafian dan janji manis pihak kerajaan.

Walaupun memulihkan kredibiliti kerajaan hari ini adalah sukar, seruan agar kerajaan mengambil tanggung jawab penyelesaian adalah murni. Jika kerajaan BN terus gagal sebagaimana itulah rekod buruk mereka sebelum ini, PAS yakin bahawa tiada jalan keluar bagi negara daripada krisis yang melanda negara selain menukar kerajaan hari ini dengan kerajaan baru yang lebih berwibawa.

PAS dan rakan-rakan pembangkang telah membuktikan keupayaan mentadbir negeri-negeri yang diperintah dengan jauh lebih baik. Masanya untuk rakyat lebih berani berubah! - HARAKAHDAILY 26/8/2015

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas.

Share on Myspace