Da'i Milenia: Terima teguran, sedia buat perubahan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik respons positif penerbit Rancangan Da'i Milenia terhadap kenyataan media dan memorandum pemuda kepada TV3 tempoh hari.

Pengerusi Lajnah Dakwah DPPM, Hafez Sabri berkata, pihaknya sentiasa menyokong program baik sebegini yang dapat membina lebih ramai pendakwah muda yang profesional seterusnya boleh melebar luas syiar Islam di zaman yang serba moden ini.

Bagaimanapun beliau berharap pihak TV3 khususnya penerbit rancangan Da'i Millinea dapat menjalankan program ini mengikut lunas-lunas yang telah digariskan syarak.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara Rosyam Noor selaku pengacara rancangan Da'i Millenia di atas respon positif beliau terhadap apa yang kita sampaikan," katanya kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, Pemuda PAS menyarankan agar rancangan Da'i Millinea perlu mendapatkan nasihat daripada alim ulama sebelum melaksanakan setiap slot dan modul yang akan dilalui peserta dalam program ini.

Program realiti TV3 Da'i Milenia musim ke-3 yang baru sahaja bermula mendapat kritikan para netizen dan penonton apabila terdapat beberapa perkara yang telah mencemarkan kaedah dan tata cara berdakwah serta batasan Islam bagi seorang Da’i.

Insiden yang berlaku ini telah mencemarkan imej semua Da’i dan Islam itu sendiri antaranya, 'wargame' lelaki perempuan, bangkit tubi disekalikan lelaki perempuan, kawat sebelah menyebelah dan lelaki perempuan ikat kaki bersama semasa explorace atas alasan denda.

Ekoran itu, Pemuda PAS pada 20 Ogos lalu telah menghantar memorandum kepada TV3 sebagai satu teguran dan beberapa cadangan turut dikemukakan di dalam memo tersebut.

Difahamkan, Datuk Rosyam Noor ketika mengacarakan rancangan itu akan mengambil positif terhadap teguran semua pihak terhadap program realiti itu dan akan melakukan sedikit demi sedikit perubahan demi kebaikan bersama. – HARAKAHDAILY 26/8/2015

Share on Myspace