RM jatuh lagi, Bank Negara perlu bertindak segera

MUHAMMAD FAIZAL | .

 

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mengambil pendekatan segera dalam menentukan nilai sebenar kadar pertukaran Ringgit Malaysia (RM) yang boleh dipertahankan.

Bekas pegawai kanan Bank Negara, Dr Rosli Yaakop berkata perkara dasar yang perlu dilakukan BNM adalah menilai tahap sebenar RM, setelah penilaian dibuat ia perlu dipertahankan agar kawalan ke atas RM dapat dilakukan sepenuhnya.

Menurut beliau, kegagalan mengawal kejatuhan RM akan menyebabkan peningkatan kadar inflasi kepada negara ini.

"Kalau berdasarkan kepada fundamental ekonomi, nilai RM seharusnya tidak boleh jatuh sehingga RM4 bagi USD1, tindakan segera perlu dilakukan BNM dalam mengawal situasi ini.

"Hari ini ringgit jatuh lagi RM4.30 untuk USD1, ini keadaan yang luar biasa dan kita seru BNM lakukan sesuatu supaya kemerosotan dapat dihentikan," katanya ketika ditemui di Harakah Bazar, hari ini.

Beliau turut menyambut baik teguran Sultan Johor yang menggesa kerajaan bertindak segera atas kejatuhan nilai ringgit.

"Saya lihat seruan dan teguran memang wajar diambil perhatian berat kerana ia jatuh teruk dan yang terendah dalam sejarah matawang negara.

"Semasa krisis 1997 ia jatuh sekitar RM4 hingga RM4.10 untuk USD1 tetapi BNM bertindak pantas dengan membawa Ringgit kepada nilai RM3.80," katanya.

Beliau tidak menolak, kegagalan BNM dan kerajaan untuk mengambil tindakan boleh menyebabkan Ringgit terus jatuh ke tahap yang lebih teruk dan memberi tekanan kepada rakyat. - HARAKAHDAILY 26/8/2015

Share on Myspace