Parti Kita nafi laporan GHB ambil alih

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) hari ini menafikan laporan bahawa parti itu akan diambil alih oleh Gerakan Harapan Baru (GHB) sebagaimana yang tersebar di media sosial, kata Setiausaha Pusatnya Azmi Othman.

Beliau berkata khabar angin itu mendakwa parti berkenaan akan ditukar nama kepada Diplomatic Islamic Party (DIP) atau AMANAH pada 31 Ogos ini, selepas pengambilalihan.

"Semakan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 19 Ogos (mendapati) ada pihak cuba memalsukan maklumat untuk mengambil alih parti itu bagi diserahkan kepada GHB dengan tujuan menukar nama," dakwanya.

"Penjelasan ini perlu untuk mengelakkan mana-mana pihak tertipu sekiranya ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mencari jalan mudah mencari keuntungan atau kesenangan politik," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Azmi berkata satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 20 Ogos lepas.

Beliau berkata penjelasan ini perlu bagi meredakan keresahan kira-kira 7,000 anggota parti KITA di seluruh negara yang gusar dengan desas desus itu. - Bernama

Share on Myspace