Mudir tolak serpihan PAS sebar pengaruh di pondok

ASLANI M|FOTO M YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: Menjelang muktamar lepas ada pihak yang berselindung di sebalik nama NGO mahu menganjurkan program ceramah di kawasan Pondok Pasir Tumbuh dekat sini.

“Pada awalnya saya mengeluarkan surat kebenaran kerana ingatkan pihak itu menyokong perjuangan Islam dibawa ulama.

“Namun selepas mendapat maklumat pihak terbabit bukan mendukung perjuangan PAS yang diketuai Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang maka saya menarik balik surat tersebut,” kata mudir pondok terbabit Tok Guru Wan Muhammad Wan Othman.

Difahamkan sebelum ini NGO terbabit yang ada kaitan dengan serpihan PAS mahu mengadakan ceramah di kawasan pusat pengajian pondok terbesar di Malaysia tersebut.

Kata Tok Guru Wan Muhammad wakil NGO terbabit datang menemui pengurusan pondok menjelang muktamar PAS awal Jun lalu.

“Saya ingat mereka yang datang itu pendukung perjuangan ulama yang berada dalam PAS. Namun selepas diselidik mereka bukan dari kelompok tersebut.

“Cadangan awal mereka mahu mengadakan ceramah di hadapan masjid berhampiran pejabat pengurusan pondok. Namun saya batalkan surat kelulusan kemudiannya,” katanya ketika ditemui di pondok tersebut hari ini.

Pondok tersebut mempunyai 500 pelajar lelaki dan 200 pelajar perempuan yang belajar sepenuh masa.

Pelajarnya datang dari Patani, Narathiwat dan Bangkok di Thailand. Selain itu dari Kempuchea dan Indonesia. Sebahagian besar pelajar tempatan dari seluruh Malaysia.

Di kawasan pondok tersebut juga kira-kira 500 masyarakat Kampuchea tinggal sambil menimba ilmu agama.

Pondok Pasir Tumbuh mempunyai kawasan seluas 60 ekar merupakan institusi pondok tradisional yang terbesar di Kelantan dan Malaysia.

Tok Guru Wan Muhammad juga menasihatkan bekas pemimpin PAS yang berhasrat mewujudkan parti Islam baru berfikir panjang bagi masa hadapan umat Islam di negara ini.

“Usah duduk banyak bercanggah pendapat sehingga memperlihatkan seolah-olah lahir mazhab baru pula.

“Saya tidak setuju kalau ada orang hendak tubuh parti Islam baru, cukup dengan apa yang ada. Salah silap dalam pengurusan parti itu perkara biasa,” katanya.

Sebagai guru agama yang dihormati beliau turut menasihatkan bekas pemimpin PAS berhati-hati dengan pihak yang terang-terangan menolak pelaksanaan perundangan Islam di Kelantan.

“Sebelum ini kita tidak nampak penentangan terbuka DAP terhadap usaha melaksanakan perundangan Islam di sini, ketika itu harus kita berkawan.

“Sekarang lain, keharusan itu seperti tidak nampak lagi kerana mereka secara jelas lagi terang menentang secara terbuka,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 26/8/2015

Share on Myspace