SMS Bersih 4: Telefon Idris diceroboh, ramai kena tipu

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Banyak saya dapat call kononnya SMS daripada saya mengenai himpunan Bersih 4.0," ujar Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Beliau memaklumkan perkara itu kepada Harakahdaily petang tadi kerana telefon tangannya diceroboh.

Ekoran itu, jelas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu banyak orang tertipu dengan SMS tersebut.

Menurutnya, kenyataan rasmi parti berhubung himpunan Bersih 4.0 adalah daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan sahaja.

Takiyuddin dalam kenyataan rasmi yang disiarkan Harakahdaily semalam memberitahu PAS memutuskan untuk tidak mengerahkan ahli serta penyokongnya ke himpunan Bersih 4.0 yang bakal diadakan pada 29 hingga 30 Ogos ini.

Beliau menegaskan keputusan itu dibuat kerana PAS sedang dalam persiapan mengadakan satu program besar iaitu Kongres rakyat bpada 12 September 2015 (Sabtu) yang melibatkan ahli dan pimpinan PAS dipelbagai peringkat dari seluruh negara, NGO, parti politik dan orang awam bagi membincangkan pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama dan penyelesaian yang konstruktif.

"Maka PAS beranggapan seluruh komitmen sumber dan organisasi parti wajar digerakkan secara menyeluruh pada 12 September ini," ujar Ahli Parlimen Kota Bharu itu. - HARAKAHDAILY 26/8/2015

Share on Myspace