Ahlan wasahlan Stacy, moga istiqamah bersama Islam

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Selepas mengucap dua kalimah syahadah pada isnin lalu, seluruh negara mengucap syukur dan merasa terharu dengan penghijrahan Stacy seorang artis kelahiran Sabah yang muncul selepas program realitI Akademi Fantasia.

"Bagi Tautan Rahmat Malaysia, ia satu yang sangat mengujakan dan kami ingin mengucapkan tahniah kepada Stacy Anam yang telah memeluk agama Islam baru-baru ini," ujar Presiden Tautan Rahmat Malaysia, Mohammad Ibrahim dalam satu kenyataan.

Stacy yang kini diberi nama Ummu Shaikah Stacy Binti Anam telah melafazkan kalimah syahadah di Pejabat Agama Johor Bahru, Johor.

Pelantun lagu Not For Sale dan Cinta Gila ini yang juga aktif dalam persembahan pentas selain kini menjadi juri umum kepada Akademi Fantasi telah mengukir satu lembaran baharu dalam hidupnya.

Penghijrahan yang ditegaskannya bukan kerana teman lelakinya Akim yang juga produk Akademi Fantasia, sebaliknya kerana Allah.

Justeru, Mohammad mengucapkan tahniah kepada Stacy dengan sejarah baru dalam kehidupannya itu adalah satu rahmat kepada hidupnya.

Ini, ujarnya kerana Stacy kini umpama kain putih yang harus diberi peluang untuk bersama menjalani hidup sebagai muslimah.

"Kami di Tautan Rahmat mengharapkan beliau menjadi seorang lagi artis muslimah contoh kepada para peminat seni di Malaysia.

"Ahlan Wasahlan Stacy... moga terus Istiqamah Bersama Islam," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 27/8/2015

Share on Myspace