Isu Kg Mutiara: PAS komited untuk terus bantu rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Kita semua sedia maklum akan kemelut yang sedang dihadapi oleh penduduk Kampung Mutiara, Batu Feringghi berikutan tindakan pengusiran tanpa pampasan melalui penghakiman mahkamah bertarikh 3 Julai 2012," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Beliau berkata, kemelut itu melibatkan kediaman lebih 500 orang penduduk Kampung Melayu yang majoritinya Melayu Islam dan telah menetap di situ lebih daripada 50 tahun.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menetapkan mana-mana pelan pembangunan tidak akan diluluskan tanpa pampasan adil dan setimpal kepada penduduk di kawasan tersebut.

Selari dengan perkara tersebut, kata beliau PAS mendesak campur tangan kerajaan negeri untuk menyelesaikannya sebaik-baiknya sebelum tindakan perobohan mana-mana kampung berlaku.

"Arahan dan keputusan makkamah adalah jelas menyebelahi tuan tanah, maka usaha proaktif kerajaan negeri dalam membantu mereka yang terlibat akan dapat meringankan tekanan kepada penduduk," katanya yang juga Ahli Parlimen Temerloh dalam satu kenyataan.

Ini, ujarnya dengan menyediakan tawaran rumah ganti rumah sama ada disediakan oleh pemaju sebagai pampasan mahupun tawaran rumah kos rendah oleh kerajaan negeri demi kebajikan penduduk yang terlibat.

Tambahnya, perkara itu pernah disarankan dalam memorandum Lajnah Tanah PAS Pusat pada tahun 2014 yang diserahkan kepada kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun, katanya PAS komited untuk terus membantu rakyat dan bersedia dari segala sudut termasuk khidmat guaman dalam menghadapi kemelut itu. - HARAKAHDAILY 27/8/2015

Share on Myspace