PAS Perak anjur pelbagai program sempena Merdeka

MUHAMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak dengan semangat Sehati Sejiwa bersama seluruh rakyat khususnya di negeri itu memperbaharui tekad dalam mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Ketua Penenerangannya, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, PAS Negeri mengajak seluruh rakyat berganding bahu mengukuhkan jati diri bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Katanya, tonggak sosio-budaya yang menjadi teras keharmonian Malaysia juga perlu dikekalkan dengan kerjasama serta kesatuan seluruh rakyat.

Menurutnya, sempena dengan hari kemerdekaan pada tahun ini, PAS Perak akan menganjurkan pelbagai program bagi sama-sama menyambut hari yang penuh bersejarah itu.

"Antaranya kami akan menganjurkan majlis tahlil untuk mendoakan pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah pergi meninggalkan kita, ia akan diadakan pada 27 Ogos (hari ini) bermula selepas maghrib di markaz-markaz PAS Kawasan.

"Selain daripada itu, kami akan mengadakan Ceramah Sambutan Merdeka peringkat negeri Perak yang akan diadakan pada 30 Ogos ini di Bandar Behrang 2020 bermula jam 9.00 malam.

"PAS Perak mengajak seluruh rakyat negeri ini bersama-sama menyertai program yang bakal diadakan ini," katanya kepada Harakahdaily.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu mengarahkan seluruh premis pentadbiran PAS sama ada pejabat, markaz, bilik gerakan atau lain-lain menaikkan bendera Malaysia dan bendera negeri Perak di samping bendera parti bermula 28 Ogos 2015 sehingga 16 September 2015. – HARAKAHDAILY 27/8/2015

Share on Myspace