Pemuda PAS gesa bina rumah mampu milik di bandar utama

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa pihak legislatif, eksekutif, pihak berkuasa tempatan dan swasta giat bersama-sama membangunkan lebih banyak perumahan mampu milik khususnya di bandar-bandar utama.

Menurut Naib Ketua DPPM, Khairil Nizam Khirudin rumah adalah satu keperluan utama bagi menjamin kesejahteraan dan masa depan rakyat negara ini.

Katanya, Dewan Pemuda PAS Malaysia turut mencadangkan beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan untuk menawarkan lebih banyak perumahan mampu milik.

Antaranya kata beliau, pembangunan tanah-tanah wakaf yang boleh dimodelkan daripada projek Taman Wakaf Seetee Aisah di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

"Ia adalah pusat komersial dan residen pertama yang dibangunkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan UDA Land (North) Sdn Bhd atas tanah wakaf seluas lima hektar untuk kepentingan umat Islam," katanya dalam satu kenyataan.

Langkah kedua yang boleh dipertimbangkan tambahnya,  ialah intervensi minima kerajaan terhadap nilai pasaran tanah khususnya di bandar-bandar utama.

"Harga rumah mampu milik sukar dibendung disebabkan spekulasi tidak terkawal nilai semasa tanah. Apakah mekanisme efektif untuk membendung spekulasi tersebut?

"Sebagai contoh, purata harga sebuah unit apartmen (800 kaki persegi) di Bukit Jalil berharga RM400,000. Purata harga sebuah unit apartmen (900 kaki persegi) di Brickfields berharga RM600,000 dan purata harga sebuah unit apartmen (900 kaki persegi) di Ampang berharga RM300,000.

"Perbezaan ketara antara ketiga-tiga kawasan boleh dijustifikasikan namun bagaimana kerajaan ingin memastikan nilai pasaran tersebut berada dalam lingkungan yang munasabah dengan kondisi apartmen, keperluan rakyat dan ia tidak terus dispekulasikan?" soalnya.

Walaupun penyewaan dan pembelian rumah kediaman dikecualikan daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), namun katanya,  para pemaju juga ditekan dengan beberapa cukai lain seperti setem duti, levi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan peningkatan kos binaan yang dikenakan GST serta kenaikan kos logistik termasuk petrol.

Jelasnya, bebanan ini yang disalurkan kepada rakyat yang majoritinya hanya mengecapi kenaikan paras tangga gaji yang perlahan dan menanggung kos sara hidup yang tinggi.

"Sudah menjadi satu kebiasaan hari ini, golongan muda berulang alik setiap hari dari Senawang, Banting, Ijok dan Tanjong Malim ke tempat kerja di Kuala Lumpur.

"Kesukaran hidup telah mengherot graf keseimbangan hidup rakyat. Akhirnya, mereka sukar mengawal perasaan, tiada kesempatan untuk meningkatkan kefahaman agama dan membahagiakan rumah tangga," katanya.

Kajian terbaru didedahkan oleh Khazanah Research Institute mengenai lambungan pasaran harga rumah terlalu tinggi sehingga sukar dimiliki oleh majoriti rakyat di Malaysia.

Perkara tersebut pernah dibincangkan secara serius sebelum ini sehingga ramai pihak mengunjurkan akan berlaku lambakan generasi penyewa khususnya di kawasan bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Baharu.

Pada 23 Mac lalu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga telah membangkitkan isu pemilikan hartanah di kalangan anak muda kepada bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Katanya, antara isu yang dibangkitkan adalah lebihan penawaran kediaman mewah sehingga meminggirkan permintaan sebenar rakyat.

Menurut satu kajian didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REI, pemaju-pemaju di Malaysia giat membina kediaman mewah yang hanya mampu dimiliki oleh 30 peratus rakyat Malaysia.

Purata hartanah mewah ditawarkan telah menjangkau sehingga 70 peratus dalam pasaran berbanding yang sewajarnya iaitu sekitar 20 peratus sahaja. - HARAKAHDAILY 27/8/2015

Share on Myspace